Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Menguatkuasakan undang-undang merupakan objektif utama Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di samping menyelitkan elemen-elemen kesedaran terhadap pentingnya menjaga keselamatan semasa memandu serta patuh akan undang-undang jalan raya.
Baru-baru ini PDB telah membuat beberapa sekatan jalan raya yang telah dijalankan di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara.
Dua sekatan jalan raya telah dipergiat pada minggu ini di mana sekatan pertama telah dijalankan oleh Balai Polis Muara yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis, Hajah Nur Azhani binti Haji Johaiani dengan operasi sekatan dijalankan di kawasan lebuhraya Mentiri.
Antara kesalahan yang ditemukan semasa sekatan tersebut ialah kesalahan melibatkan tidak memiliki lesen memandu serta tayar tidak selamat untuk digunakan. Pemandu-pemandu yang didapati bersalah telah dikeluarkan kompaun atas kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas Penggal 68.
Manakala sekatan kedua diselenggarakan oleh keanggotaan Balai Polis Limau Manis yang terdiri daripada 10 orang anggota yang menumpukan di kawasan Jalan Junjongan. Hasil daripada operasi sekatan tersebut tidak ada menemukan sebarang kesalahan.
Di samping itu, turut diterapkan semasa sekatan ialah berupa nasihat kepada para pemandu agar sentiasa patuh terhadap arahan pihak kerajaan berhubung langkah-langkah keselamatan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
PDB akan sentiasa dan berterusan mengadakan operasi sedemikian dalam usaha agar orang ramai sentiasa peka terhadap peraturan dan keselamatan semasa memandu.
