Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Service champions memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti selamat apabila mereka mengisi minyak di mana-mana stesen runcit Shell.
Mereka berada di sana untuk memastikan proses mengisi minyak kenderaan atau penggunaan kontena yang diluluskan semasa, sebelum dan selepas adalah mengikut piawaian untuk keselamatan pelanggan dan semua orang.
Bulan ini, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) mengadakan sesi keselamatan (safety timeout sessions) dengan stesen runcit Shell di seluruh negara.
Objektifnya adalah untuk menekankan kepentingan proses pematuhan mengisi minyak di stesen minyak.
Semasa ditemui Media Permata di Stesen Minyak Hjh Dyg Badariah, Katok, Ketua Peruncitan BSM, Haji Shahruddin bin Haji Abdul Wahid berkata, untuk menjadikan stesen runcit Shell selamat memerlukan penglibatan dan kerjasama daripada orang ramai, bukan hanya service champions.
“Pematuhan kepada peraturan dan undang-undang keselamatan dalam keseluruhan proses mengisi minyak akan memastikan keselamatan semua orang di sekeliling kita di stesen runcit Shell,” ujarnya.
BSM telah menjalankan kempen keselamatan untuk mendidik orang ramai tentang keselamatan di stesen-stesen minyak melalui kempen tahunan Fill Safe, Feel Safe di mana orang ramai diingatkan tentang amalan keselamatan yang mesti dipatuhi.
Antaranya adalah dilarang merokok di stesen, memastikan enjin kereta sentiasa dimatikan semasa mengisi minyak, penunggang motosikal turun dari motosikal semasa mengisi minyak, membuat pembayaran hanya selepas mengisi minyak selesai dan hanya tin jerry (Jerry Cans) dan kontainer yang diluluskan dapat digunakan.
Service champions tidak akan melayani pelanggan yang tidak mematuhi amalan keselamatan tersebut dan penting bagi orang ramai mengikut amalan keselamatan dan mengikut arahan yang diberikan oleh service champions untuk proses mengisi minyak bermula.
Keselamatan di stesen minyak adalah yang utama dan service champions serta orang ramai bertanggungjawab untuk memastikan mereka melakukan bahagian mereka.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan service champions jika mereka tidak pasti tentang mana-mana amalan keselamatan di stesen runcit Shell.
Mereka juga dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Panggilan BSM di talian 2244739 jika mereka melihat atau memerhati sebarang ketidakpatuhan atau tingkah laku tidak selamat di stesen-stesen minyak.