Patuhi Perintah Persaingan peniaga

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Dengan pasaran yang kini berdaya saing dan memberi peluang kepada peniaga untuk berkembang, kesedaran dan kepatuhan terhadap Perintah Persaingan adalah sangat penting ke arah mencapai pasaran adil yang dapat memberi manfaat kepada para peniaga dalam jangka panjang, seterusnya meningkatkan kesejahteraan pengguna.

Perkara itu ditekankan oleh Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) dalam sesi dialog bersama peniaga pasar, baru-baru ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa Sekretariat Eksekutif kepada CCBD semasa sesi dialog tersebut antara lain menekankan kepentingan untuk mempunyai kesedaran mengenai Perintah Persaingan, mengambil kira juga peniaga di pasaran menawarkan khidmat yang penting kepada masyarakat.

Sesi dialog dilaksanakan dengan objektif utama untuk memberigakan mengenai kepentingan dan manfaat mematuhi Perintah Persaingan serta larangan-larangan utama yang telah dikuatkuasakan, iaitu larangan terhadap perjanjian di antara dua atau lebih peniaga untuk menetapkan harga, mengehadkan bekalan, membuat tawaran secara kolusif, dan membahagikan pasaran.

Perjanjian-perjanjian berkenaan adalah dilarang di bawah Bab 11, Perintah Persaingan, 2015, yang mana telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020.

Sesi dialog yang disampaikan Sekretariat Eksekutif kepada CCBD bersama peniaga pasar, baru-baru ini.

Kenyataan menjelaskan bahawa melalui larangan amalan antipersaingan, Perintah Persaingan dihasrat dapat mencapai objektif bagi menggalakkan peniaga, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk bersaing secara sihat dengan menawarkan harga kompetitif secara bebas, dan memberikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti untuk menarik pelanggan.

Sesi berkenaan juga membincangkan mengenai kaedah bagi mengesan Perjanjian Anti Persaingan (kartel).

Di bawah Bab 44, Perintah Persaingan memberi peruntukan bagi Program Kelonggaran, iaitu program yang memberi insentif kepada peniaga yang terlibat dalam amalan kartel untuk tampil memberi maklumat mengenai amalan yang dilarang tersebut dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada CCBD, sebagai pertukaran bagi imuniti daripada penalti.

Maklumat lanjut mengenai Perintah Persaingan dan Program Kelonggaran boleh diperoleh di laman sesawang CCBD di www.ccbd.gov.bn.

Pembentangan mengenai Perintah Persaingan diikuti dengan perbincangan interaktif yang merangkumi hal-hal berkaitan dengan tingkah laku peniaga dalam pasaran domestik dan dasar bagi mempromosi persaingan dalam pasaran.

Sesi dialog adalah sebahagian daripada pelaksanaan fungsi utama CCBD untuk mempromosi persekitaran perniagaan yang berdaya saing di Negara Brunei Darussalam melalui penguatkuasaan perundangan persaingan yang berkesan.