Patuhi piawaian keselamatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, telah mengadakan lawatan sekali gus menyerahkan sijil perakuan bomba kepada salah sebuah perusahaan dobi di Daerah Brunei dan Muara yang telah memenuhi dan mematuhi kehendak Piawaian Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 (Fire Safety Order 2016).

Pendaftaran perniagaan atau perusahaan premis dobi dan dobi layan sendiri di negara ini telah pun menunjukkan peningkatan sama ada pendaftaran melalui Bahagian Pendaftaran Nama Syarikat-syarikat dan Perniagaan (ROCBN) atau lesen perniagaan 16/17.

Sehubungan dengan ini, dalam usaha untuk memastikan keselamatan ke atas premis serta para pengguna, pengunjung dan pengusaha, taklimat mengenai Garis Pandu Keselamatan Kebakaran bagi kedai dobi telah diadakan pada Februari lalu di JBP.

Taklimat yang telah disampaikan Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan dan Ketua Keselamatan Kebakaran, SSFR Awang Taib bin Haji Abd Kahar itu adalah dikhususkan kepada pengusaha-pengusaha kedai dobi yang berdaftar terlebih awal sebelum ini agar mereka mengetahui dan mematuhi kehendak Piawaian Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 (Fire Safety Order 2016).

Selain itu, taklimat juga bertujuan untuk memastikan pengusaha kedai dobi mengetahui tatacara penyelenggaraan dalam aspek-aspek keselamatan kebakaran sebelum dapat kelulusan untuk memulakan perniagaan tersebut.

SSFR Awang Taib ketika sidang media yang diadakan di salah sebuah premis dobi di Daerah Brunei dan Muara.

Setakat ini, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah membuat pemeriksaan ke atas 39 buah premis dobi di seluruh negara yang mana hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati 22 buah premis telah gagal untuk mematuhi garis pandu piawaian keselamatan kebakaran yang mana premis-premis berkenaan menggunakan sistem elektrik dan penggunaan tong silinder gas cecair petroleum (LPG).

Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana premis yang gagal untuk mematuhi garis panduan piawaian Brunei Darussalam 12 (2014) / PBD 12 (2014) dan boleh didakwa di bawah Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 yang telah pun dikuatkuasakan

Dengan ini, JBP menekankan kepada pemilik-pemilik syarikat atau pengusaha dobi agar dapat mengambil lebih perhatian dengan mengutamakan aspek-aspek keselamatan kebakaran yang telah ditetapkan oleh JBP dengan mengambil kira kelulusan pelan daripada arkitek-arkitek yang berdaftar di negara ini terutama bagi pengusaha yang menggunakan gas silinder LPG sebelum menghadapkan permohonan untuk mendapatkan Sijil Perakuan Bomba dan Surat Sokongan bagi yang menggunakan sistem elektrik dari JBP.