Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Patuhi protokol masuk M’sia

    PUTRAJAYA, 30 MAC – Pengembara asing yang ingin memasuki Malaysia apabila sempadan negara dibuka mulai 1 April ini, perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Imigresen.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata antara peraturan itu adalah mempunyai kewangan atau kemudahan kredit yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan di Malaysia, mempunyai tiket pulang ke negara asal dan mempunyai tempat tinggal di Malaysia yang telah ditempah serta pasport mestilah melebihi tempoh enam bulan.

    “Bagi (pengembara) negara-negara yang memerlukan visa, mereka wajib memohon visa. Sekarang ini visa boleh dimohon melalui eVisa secara dalam talian, semua bayaran iaitu bayaran visa itu sendiri dan bayaran proses juga boleh dibuat secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata para pelawat juga diingatkan untuk mematuhi protokol kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya memuat naik aplikasi MySejahtera, melakukan ujian RTK-Antigen (Ag) profesional sama ada di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa atau di luar pintu masuk antarabangsa dalam tempoh 24 jam.

    “Perkara paling penting dalam pembukaan sempadan ialah peraturan. Terdapat dua jenis peraturan yang mesti dipatuhi pelawat asing iaitu protokol KKM dan peraturan imigresen,” katanya anggota imigresen yang bertugas di kaunter pintu masuk dan sempadan memahami kesemua peraturan tersebut.

    Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan raptai (dry run) pembukaan sempadan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Tanjung Kupang, Gelang Patah pada 30 Mac. Malaysia akan membuka sempadannya mulai 1 April ini. – Bernama

    Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan Malaysia menetapkan kadar minimum bagi polisi perlindungan insurans (COVID dan pengembaraan) sebanyak AS$20,000, untuk pengembara yang ingin memasuki Malaysia 1 April ini.

    Beliau berkata keperluan itu terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek, tanpa mengira status vaksinasi COVID mereka.

    “Perlindungan insurans tersebut antara lain bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital, sekiranya mereka dijangkiti COVID-19 semasa berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairy berkata sebelum berlepas ke Malaysia, pengembara perlu mematuhi satu daripada protokol am ditetapkan iaitu mengisytiharkan melalui aplikasi MySejahtera bahawa mereka memiliki polisi perlindungan insurans berkenaan.

    Mengambil maklum ketetapan terkini kerajaan Singapura berhubung insurans tersebut serta atas dasar timbal balas, Khairy berkata keperluan untuk memiliki polisi perlindungan insurans (COVID dan pengembaraan) dikecualikan khusus bagi para pengembara yang lengkap vaksinasi.

    Beliau berkata golongan yang dikecualikan terdiri daripada warganegara Singapura atau Malaysia; penduduk tetap Singapura atau Malaysia serta pemegang Pas Jangka Panjang di Singapura atau Malaysia.

    “Pengecualian ini terpakai bagi pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dengan menggunakan laluan udara, darat dan laut,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...