Saturday, January 25, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Patuhi protokol perkumpulan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Perkumpulan ramai semasa Fasa Awal Endemik dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 Kebangsaan adalah dibenarkan dengan mematuhi garis paduan berkaitan sekatan kapasiti, protokol perkumpulan ramai serta sanitasi dan kebersihan.

    Menurut garis panduan yang dimuatkan dalam laman sesawang Jabatan Perdana Menteri (JPM), langkah-langkah untuk perkumpulan ramai ialah mematuhi sekatan kapasiti di mana premis dan tempat perkumpulan dibenarkan beroperasi pada kadar 75 peratus daripada kapasiti penuh premis atau tempat pada satu masa atau sehingga 300 individu iaitu yang mana terendah, termasuk penganjur dan kakitangan.

    Bagi protokol perkumpulan ramai, semua individu dibenarkan hadir, walau bagaimanapun, individu yang tidak bervaksin penuh mestilah menunjukkan bukti keputusan ART negatif, penggunaan aplikasi BruHealth dimestikan, hidangan makanan dan minuman dibenarkan tetapi dalam bentuk makanan pek atau dihidang dalam dome warmers dengan penyediaan makanan secara bufet tidak dibenarkan.

    Pemakaian pelitup muka dimestikan kecuali semasa makan dan minum, penjarakan fizikal dimestikan serta kakitangan atau pekerja digalakkan untuk menjalani ujian ART sekali setiap dua minggu.

    Bagi sanitasi dan kebersihan, tempat perkumpulan ramai hendaklah melantik kakitangan untuk melaksanakan pembersihan dan pengemasan yang lebih kerap setiap hari dengan menggunakan cecair disinfeksi secara kerap kepada kawasan yang kerap disentuh seperti pegangan tangan, permukaan lif dan butang, tombol/pemegang pintu, peti surat, papan kenyataan, paparan digital, panel skrin sentuh serta meja dan kerusi di kawasan awam.

    Mereka juga dikehendaki menyediakan cecair disinfeksi tangan di tempat orang kerap berlalu lintas, memastikan tong sampah ditutup pada setiap masa dan dibersihkan setiap hari dengan mengikat beg plastik sampah dengan betul sebelum di buang di pusat tong, membersihkan segera sebarang tumpuhan sampah, membasuh dan nyah kuman semua tong sampah, ruang tong dan pusat tong sampah jika perlu, melibatkan kontraktor pembuangan sampah berlesen untuk pembuangan sampah setiap hari serta memastikan pengudaraan yang mencukupi di dalam tandas atau menggunakan pembersih udara jika boleh.

    Untuk mendisinfeksi kawasan, kakitangan kebersihan diharapkan untuk merendam kain pembersih dalam peluntur isi rumah pada kepekatan yang betul mengikut arahan pembekal dan basuh kain selepas digunakan atau sebelum digunakan semula serta membersihkan dan mendisinfek semua peralatan pembersihan serta-merta selepas digunakan. 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda