Patuhi SOP, vaksin cukup untuk semua

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Bahiyah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memberi kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa hendak mendapatkan vaksin secara jumpa terus di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Nasihat tersebut disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang menjawab persoalan mengenai jumlah kehadiran orang ramai yang berduyun-duyun mengerumuni pusat tersebut, semasa sidang media hari ini.

Yang Berhormat Dato juga menekankan program vaksinasi yang dibukakan setiap hari Jumaat itu akan menyediakan sebanyak 1,300 slot untuk mereka yang hendak mendapatkan dos pertama.

Melihat keadaan orang ramai yang berkerumun ke kawasan tersebut, Kementerian Kesihatan terpaksa meminta bantuan daripada pasukan polis untuk mengawal keadaan di sana.

“Saya meminta kerjasama daripada orang ramai untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan dan dos vaksin mencukupi untuk semua orang, sesiapa saja yang bermastautin di negara ini akan diberikan vaksin,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato turut menegaskan orang ramai yang tidak berpeluang mendapatkan vaksinasi pada Jumaat ini, mereka boleh datang pada Jumaat depan dan diingatkan untuk tidak lagi berlegar-legar di kawasan pusat berkenaan.

Orang ramai diingatkan agar sentiasa memberi kerjasama dan mematuhi SOP semasa hendak mendapatkan vaksin secara jumpa terus di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – Gambar fail Muiz Matdani