KELUARGA tunjang kepada pelbagai sumber kekuatan dalam kehidupan seorang insan, justeru, membangunkan institusi kekeluargaan yang utuh dan berlandaskan syariat Islam bukan satu hal mudah. Bagaimanapun, ia tidak mustahil. Menerusi segmen Pesona D’Zahra, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkongsi hadis Nabi S.A.W mengenai kekeluargaan.
Daripada Ibnu Majah, Nabi S.A.W bersabda: “Nikah itu sebahagian daripada sunahku. Orang yang tidak mahu beramal (kerana benci), maka dia bukan daripada kalanganku. Kahwinlah kamu! Kerana aku bangga dengan umatku yang ramai. Siapa yang ada kemampuan, bernikahlah. Maka, siapa yang tidak mampu, hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya puasa itu ada ubat untuk menundukkan nafsu.”
Apabila Baginda S.A.W menyatakan nikah itu adalah sunah Baginda, maka daripada awal proses pernikahan itu terdapat sunahnya. Tatkala seseorang menyatakan hasrat untuk mencari pasangan, maka mulakanlah dengan sunah.
Lakukan solat sunat istikharah bagi memohon kepada Allah S.W.T supaya dipermudahkan urusan memilih pasangan. Apabila anak ingin mencari jodoh, galakkan untuk melakukan solat sunat istikharah supaya tidak mudah tertipu dengan pandangan mata manusia.
Mohon kepada Allah S.W.T untuk membimbing kita dalam urusan memilih pasangan. Tatkala selesai istikharah dan kita yakin dengan pilihan itu, dapatkan restu serta reda kedua ibu bapa.
Dahulukan calon pasangan pilihan keluarga
Bercerita soal jodoh, Ustaz Muhammad mencadangkan supaya mendahulukan calon pasangan pilihan keluarga. Ada kalanya, kita kurang kematangan dalam membuat sesuatu keputusan. Tambahan pula, ia membabitkan keputusan besar dalam hidup untuk membina sebuah keluarga.
Di mata kita mungkin sudah terbaik, namun ada kala kita salah menilai. Walau bagaimanapun, Islam tetap mengajarkan kita untuk lakukan istikharah supaya diberikan yang terbaik dalam perjalanan memilih pasangan hidup.
Ibu ayah pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak mereka, terutamanya apabila telah lama mengasuh, mendidik dan membesarkan. Jalan terbaik adalah berserah kepada Allah S.W.T melalui jalan istikharah kita kepada-Nya.
Doa supaya diberi pasangan hidup terbaik
Dalam memilih pasangan hidup dan mempersiapkan diri membina sebuah keluarga, ayah perlu mendidik anak sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar diberikan pasangan hidup yang terbaik, sentiasa mentaati perintah-Nya serta menghormati orang tua.
Jika datang daripada calon pilihan kita, berbincang dengan baik dan pastikan calonnya mendapat restu kedua ibu bapa. Akhirnya, tetap perlukan petunjuk daripada Allah S.W.T mengikut apa yang telah diajarkan Baginda S.A.W.
Sunah yang dituntut dalam mendirikan sesebuah rumah tangga ada pada majlis akad nikah yang bererti kita mengambil tanggungjawab kepada kedua-dua pihak, baik isteri daripada segi layanan kepada suami mahupun suami daripada sudut nafkah kepada isteri.
Tatkala menimang cahaya mata, Baginda S.A.W telah gariskan beberapa panduan sunah untuk diikuti demi melahirkan generasi umat Baginda yang taat kepada Allah S.W.T.
Ajar adab bermula usia tujuh tahun
Rasulullah S.A.W bersabda: “Bermain-mainlah dengan anak kamu sehingga usianya tujuh tahun. Kemudian hendaklah kamu mengajarkannya adab bermula usia tujuh sehingga 14 tahun serta jadikannya sahabat atau kawan ketika berusia 14 tahun ke atas.”
Andai berlaku sesuatu ke atas rumah tangga atau terputus hubungan pernikahan itu, terdapat juga sunah yang diajarkan oleh Nabi S.A.W.
Semoga kita memperoleh rumah tangga yang bahagia dan dibahagiakan oleh Allah S.W.T. Rumah tangga bahagia bukan terletak pada mewahnya harta, namun bahagia letaknya di hati.
Allah S.W.T yang meletakkan kebahagiaan dalam hati kita, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang yang beriman.” (Surah al-Fath, ayat 4). – Agensi