Patuhi undang-undang jalan raya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Para pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti undang-undang dan peraturan lalu lintas jalan raya.

Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang berperanan dalam menguatkuasakan undang-undang terutama sekali di bawah peruntukan Akta Lalu Lintas Penggal 68 di samping peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengannya mengingatkan, apabila memandu hendaklah sentiasa berwaspada, bertolak ansur dan bertimbang rasa sesama pengguna.

Janganlah memandu dalam keadaan dipengaruhi dengan bahan ubat-ubatan kerana boleh mengganggu fokus pemandu dan boleh menimbulkan keadaan mengantuk serta boleh mengakibatkan kemalangan berlaku.

JSKLL turut mengongsikan antara kesalahan kompaun yang kerap dilakukan berserta denda-denda kesalahan antaranya pemandu dan penumpang tidak memakai tali pinggang keselamatan atau keledar semasa memandu, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu serta memandu dalam pengaruh alkohol dan dadah.

JSKLL menekankan bahawa tidak memakai tali pinggang keledar boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 8 (1) Peraturan-Peraturan Kenderaan Bermotor (Tali

Pinggang Keledar 1988) Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68.

Gagal memakai tali pinggang keledar bagi pemandu atau gagal memastikan penumpang di depan menggunakan tali pinggang keledar boleh didenda antara $150 hingga $500 dan juga boleh dihadapkan ke mahkamah dengan sembilan mata demerit SiKAP.

Manakala itu, sesiapa didapati memandu melebihi had kelajuan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 24 Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68 yang boleh membawa hukuman denda antara $100 hingga $350 mengikut kategori kesalahan dengan lapan ke 21 mata demerit.

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu pula boleh didakwa di bawah Seksyen 29A Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68 yang boleh membawa hukuman denda $200 bagi kesalahan pertama, denda $400 bagi kesalahan kedua dan bagi kesalahan kali ketiga boleh dihadapkan ke mahkamah dengan 12 mata demerit.

Sementara itu, memandu dalam pengaruh alkohol dan dadah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga $10,000 dan dua tahun penjara dan boleh digantung lesen memandu sekurang-kurangnya tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga $20,000 dan empat tahun penjara serta boleh digantung lesen memandu sekurang-kurangnya tiga tahun tertakluk kepada mahkamah dengan 18 mata demerit.

Maklumat lengkap berhubung denda kes-kes kompaun bolehlah melayari laman sesawang http://www.mtic.gov.bn.