Patung Salah diejek

KAHERAH, 8 Nov – Patung bintang Liverpool, Mohamed Salah diejek di media sosial sejak ia dipamerkan di negara kelahirannya, Mesir dengan ramai yang membandingkannya dengan patung gangsa Cristiano Ronaldo.

Patung tersebut dipamerkan dalam satu majlis di Forum Remaja Dunia di sebuah resort Mesir di Sharm el-Sheikh yang turut dihadiri Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Dengan sebahagian telinganya yang besar berada di bawah rambut gaya afro, Salah digambarkan menerusi patung berkenaan sedang meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol.

Senyuman lebar terukir di wajahnya manakala kepalanya yang besar condong ke belakang di atas bentuk badan patung yang dikecilkan, sambil mendepakan kedua-dua tangannya.

Salah menjadi idola di Mesir dan Liverpool selepas ketajamannya musim lalu membawa negaranya mara ke pusingan akhir Piala Dunia Rusia dan membantu Reds ke aksi final Liga Juara-Juara.

Gambar yang diambil pada 5 November 2018 menunjukkan patung Mohamed Salah dipamerkan dalam Forum Remaja Dunia di Sharm El Sheikh. – AFP

Bagaimanapun, patungnya menerima kritikan hebat di media sosial dengan ramai yang menyamakannya dengan penyanyi British era 1970-an, Leo Sayer atau artis Amerika Syarikat (AS), Art Garfunkel.

“Orang berfikir patung Cristiano Ronaldo itu teruk. Tunggu sehingga kamu melihat patung milik Mo Salah,” tulis seorang pengguna Twitter dengan merujuk kepada patung gangsa Ronaldo yang menjadi bahan ketawa sebelum ini.

“Oh tuhan! Mereka membuat patung Salah sebagai orang kerdil,” tulis seorang pengguna lagi.

Namun, artis Mesir, Mai Abdallah yang mengukir patung berkenaan mempertahankan hasil karyanya.

Patung itu telah diperbuat daripada plaster tetapi terjejas apabila penganjur forum menuangkan gangsa ke atasnya, menurut Abdallah dalam satu kenyataan di Facebook.

Dia menegaskan patung tersebut pada mulanya hanya dibuat sebagai sampel cara membuat patung kepada para pelajar. – AFP