MANCHESTER, 17 Mac – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata Paul Pogba mungkin akan diketepikan untuk tempoh kira-kira tiga minggu berikutan kecederaan yang dialaminya.
Pogba memperoleh kecederaan hamstring ketika United menang 1-0 ke atas Rostov pada perlawanan kedua peringkat 16 pasukan terakhir Liga Europa, awal pagi tadi.
Pemain tengah Perancis yang juga pemain termahal dunia itu dikritik hebat berikutan prestasi buruk ketika United tewas 0-1 kepada Chelsea pada saingan suku akhir Piala FA, pertengahan minggu ini.
Pada aksi dengan kelab Russia Rostov, Pogba terpaksa dikeluarkan pada awal separuh masa kedua dan digantikan dengan Marouane Fellaini.
“Saya tidak tahu, tetapi sudah pasti dia tidak boleh beraksi pada perlawanan menentang Middlesbrough dan juga skuad kebangsaan,” kata Mourinho ketika ditanya tahap kecederaan dialami Pogba.

Ketika Pogba dikeluarkan, perlawanan masih terikat 0-0 sebelum jaringan tunggal Juan Mata pada minit ke-70 memastikan slot suku akhir Liga Europa buat United hasil kejayaan 2-1 secara agregat.
Kecederaan Pogba itu merumitkan lagi masalah Mourinho untuk mengisi jentera tengah selepas Ander Herrera digantung dua perlawanan untuk saingan domestik selepas menerima kad merah pada aksi Liga Perdana dengan Chelsea sebelum ini. – AFP