Paul Stadlen lepaskan wang RM7.1 juta kepada 1mdb

KUALA LUMPUR, 30 JULAI – Kes bekas penasihat media Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas perdana menteri), Paul Stadlen yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, ditarik balik selepas beliau bersetuju melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata wang itu akan dipindahkan ke akaun 1MDB.

Menurutnya berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Stadlen dan penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) membabitkan wang berjumlah RM15 juta. 

“Perkara itu diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak. Sehubungan itu, kes terhadap beliau (Stadlen) ditarik balik. Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613 berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Mohd Hafarizam setelah mengambil kira serta mempertimbangkan alasan-alasan yang munasabah, termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Stadlen. – Bernama