BARCELONA, 13 Ogos – Pemain tengah Brazil, Paulinho dijangka menjadi pemain pertama yang ditandatangani Barcelona sejak Neymar meninggalkan kelab berkenaan ke Paris Saint-Germain (PSG).
Berdasarkan laporan yang disiarkan media Sepanyol hari ini, Barca dikatakan bersedia untuk membayar klausa pembelian 40 juta euro daripada kelab China, Guangzhou Evergrande.
Stesen radio Catalan, Rac1 menggambarkan pemindahan itu sebagai ‘semakin hampir’ dengan memetik sumber rapat pemain berkenaan.
Akhbar sukan harian berpangkalan di Barcelona, Mundo Deportivo melaporkan yang Paulinho mungkin diperkenalkan seawal Isnin ini selepas Barca melayan kunjungan seteru utama Real Madrid dalam aksi pertama Piala Super Sepanyol sebelum itu.
Barca belum pernah berjaya dalam percubaan mereka mencari pengganti Neymar apabila tawaran tinggi bagi mendapatkan Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele, masing-masing ditolak Liverpool dan Borussia Dortmund.
Paulinho gagal menyinar dalam hampir penampilannya di Eropah ketika dua tahun bersama Tottenham Hotspur sebelum berpindah ke Guangzhou pada 2015.
Namun, dia kerap diturunkan dalam pasukan Brazil sejak kehadiran jurulatih Tite setahun lalu.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah ketika meledak hatrik bagi membantu pasukan meraih kemenangan 4-1 ke atas Uruguay dalam saingan kelayakan Piala Dunia, Mac lalu. – AFP