KUCHING, 17 Mei – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang dilantik sebagai pengerusi baharu Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBCC) Sarawak bagi penggal 2017-2021.
Beliau menggantikan ADUN Semop Abdullah Saidol, yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Muda Hal Ehwal Korporat baru-baru ini. Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Abdullah berkata ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo pula dilantik sebagai timbalan pengerusi, manakala ADUN Samalaju Majang Renggi sebagai setiausaha dan Gerald Rentap Jabu (Layar) sebagai penolong setiausaha.
Menurutnya, ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang dilantik sebagai bendahari, dengan Shafiee Ahmad (Daro) sebagai penolong bendahari.
Abdullah berkata dua jawatan baharu diwujudkan iaitu setiausaha pengelola dan timbalan setiausaha pengelola. Adun Saribas Mohd Razi Sitam menyandang jawatan setiausaha pengelola dan Miro Simuh (Serembu), timbalan setiausaha pengelola. Empat lagi menjadi anggota jawatankuasa kelab itu dan mereka ialah Dr Hazland Abang Hipni (Demak Laut), Martin Ben (Kedup), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus) dan Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong). Abdullah berkata pembentukan jawatankuasa baharu yang lebih kemas itu mencerminkan hasrat Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg agar kesemua 43 ADUN BN memainkan peranan mereka dengan jujur, berkualiti, berkesan dan malah menjadi pemeriksa dan pengimbang yang bersikap kritikal, bukan sahaja tentang politik, tetapi juga mengenai ekonomi dan isu penting lain. – Bernama