SAINT-PIERRE-LA-GARENNE, PERANCIS, 10 OGOS – Seekor paus Beluga yang tersesat di Sungai Seine di Perancis telah mati semasa usaha menyelamatkannya pada saat-saat terakhir, setelah pakar memutuskan untuk menamatkan nyawanya untuk mengelaknya daripada menderita seterusnya, kata pegawai tempatan hari ini.
Haiwan itu pertama kali ditemui di habitat sungai yang mengalir menerusi Paris, jauh dari perairan Artik.
Anggota menyelamat telah berhempas-pulas semalaman untuk mengeluarkan paus jantan itu dari Sungai Seine untuk dipindahkan ke kawasan air masin, dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan haiwan itu, yang tidak lagi memakan makanan.
“Meskipun usaha menyelamat yang sukar itu, kami mengumumkan dengan sedih bahawa ikan paus itu telah mati,” kata pihak berkuasa di kawasan Normandy Calvados.
Selepas kerja-kerja selama enam jam oleh puluhan juruselam dan anggota menyelamat, paus seberat 800 kilogram itu dikeluarkan dari sungai dengan jaring dan kren pada pukul 4 pagi dan ditempatkan dalam kapal baj di bawah jagaan puluhan doktor haiwan.
Ikan paus beluga itu diperiksa dan dibawa dalam trak sejuk pada kelajuan amat perlahan ke bandar Ouistreham ke utara di mana pakar memutuskan untuk mengakhiri penderitaannya.
“Semasa dalam perjalanan, doktor haiwan mendapati keadaan paus semakin teruk terutamanya pernafasan,” kata Florence Ollivet-Courtois, doktor haiwan untuk perkhidmatan kecemasan tempatan, dalam video yang disiarkan di media sosial.
“Haiwan itu tidak mendapat udara yang cukup dan jelasnya menderita. Kami dengan itu memutuskan tidak masuk akal untuk membebaskannya dan meneruskan dengan suntikan eutanasia.
“Pemindahan amat berisiko namun penting untuk memberikan haiwan kebuluran itu satu peluang,” tambah Sea Shepherd NGO, yang telah membantu dalam usaha menyelamat itu. – AFP