Pawagam di China kembali operasi

SHANGHAI, 21 JULAI – Ratusan pawagam dibuka semula di puluhan bandar China hari ini selepas enam bulan penutupan seluruh negara akibat koronavirus, mencerminkan kejayaannya dalam membendung epidemik yang masih lagi melanda sebahagian besar negara-negara lain.

Namun ia akan menjadi pengalaman baharu bagi kaki wayang: jualan tiket secara online, penutupan bar-bar makanan ringan dan penontonan secara penjarakan sosial berkaitan kebimbangan kewujudan COVID-19.

Pawagam hanya dibenarkan untuk menjual tidak lebih 30 peratus tiket bagi setiap tayangan dan carta pemilihan kerusi berdasarkan petunjuk aplikasi tiket dalam kebanyakan teater orang ramai dikehendaki duduk dengan jarak dua kerusi.

Sebelum dibuka, pawagam di rangkaian SFC, sebuah francais terbesar di China – telah menjalani proses pembersihan, dengan kakitangan membersihkan tempat duduk dan cermin mata 3D dibersihkan menggunakan cecair disinfektan.

Pengurus pawagam, Bao Yaopei berkata kaki wayang sering menelefon meja bantuan hadapan, yang bertanya bila ia akan dibuka semula.

Namun kebimbangan mengenai koronavirus masih lagi berleluasa, dengan pawagam di Beijing masih ditutup sehingga kini.

Bandar itu, bagaimanapun, telah mengurangkan tahap amaran virus bermula hari ini selepas lebih dua minggu tanpa jangkitan tempatan, mengumumkan ia telah mengawal kluster yang muncul pada Jun.

Beijing juga mengurangkan amaran di tempat-tempat kunjungan awam seperti taman-taman, muzium, pusat kecergasan dan perpustakaan dengan meningkatkan jumlah pengunjung kepada 50 peratus daripada kapasiti normal dan persidangan kepada sekitar 500 peserta dengan keselamatan kekal dilaksanakan. – AFP

Kamera menunjukkan suhu badan pelanggan di lobi pawagam semasa hari pertama dibuka semula selepas COVID-19 di Shanghai pada 20 Julai. – AFP