PARIS, 1 Feb – Bintang baru Marseille Dimitri Payet membuat penampilan sulungnya awal pagi semalam namun kelibatnya dibayangi rakan sepasukan, Doria yang membantu pasukan mara ke suku akhir Piala Perancis dengan menundukkan Lyon 2-1.
Payet menyertai pasukan Ligue 1 itu dengan perjanjian empat setengah tahun, Ahad lalu selepas Marseille bersetuju membayar 30 juta euro untuk membawanya semula ke Stade Velodrome.
Bekas perancang tengah West Ham berusia 29 tahun itu diberi tepukan gemuruh apabila dibawa digantikan pada minit ke-94 tatkala pertembungan itu terikat 1-1 dan berlarutan sehingga masa tambahan.
“Ia adalah luar biasa, saat yang akan diingati selama-lamanya,” kata Payet dalam penuh emosi, yang sebelum ini mencetuskan kekecohan dalam usahanya memaksa West Ham melepaskannya ke Marseille.
“Saya agak menggigil ketika masuk padang. Penyokong sentiasa di belakang kami, kami mahu memberikan mereka hadiah dengan kemenangan.
“Apa yang penting adalah untuk menang tidak kira walau saya di dalam atau luar padang. Di dalam bilik persalinan, saya tidak lagi diberi tempat yang sama dan jersi sama, (tetapi) keghairahan saya masih tetap sama.
“Saya sudah tidak beraksi selama sebulan dan saya merasakan kelainannya (fizikal), tetapi saya bermotivasi untuk kembali ke tahap lama,” kata Payet.
Rod Fanni, yang dipanggil semula pada musim panas lalu oleh bekas pengendali Marseille Frank Passi, membuka tirai jaringan pada minit ke-24 sebelum Corentin Tolisso menyamakan kedudukan (m-64).
Pertahanan gantian dari Brazil, Doria yang pernah disisihkan bekas bos Marseille, Marcelo Bielsa mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-109 selepas masuk menggantikan Patrice Evra. – AFP