Payhalal tembusi pasaran Indonesia

KUALA LUMPUR, 17 NOV – Souqa Fintech Sdn Bhd, pengendali gerbang pembayaran berlandaskan Syariah, PayHalal, menembusi Indonesia menerusi usaha sama dengan PT Kirana Investama Nusantara yang berpangkalan di Jakarta.

Firma pelaburan itu yang sebahagiannya dimiliki organisasi bukan kerajaan, Yayasan Desa Emas Indonesia, turut mengelola program industri berfokuskan kampung Gerakan Desa Emas atau dikenali sebagai Desa Emas.

Usaha sama itu akan membolehkan kedua-dua entiti untuk melaksanakan PayHalal bagi meningkatkan inisiatif Desa Emas dengan menyediakan platform dalam talian berlandaskan syariah termasuk khidmat pembayaran, kutipan pembayaran dan khidmat pasaran e-dagang, kepada usahawan yang terlibat.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Souqa Fintech Datuk Badlisyah Abdul Ghani memuji kejayaan Desa Emas melaksanakan program yang meningkatkan perniagaan tempatan di kira-kira 800 kampung pada masa ini.

Menerusi PayHalal, peserta industri ini diharapkan dapat merebut peluang untuk mempromosi produk mereka melalui gerbang pembayaran dan pasaran e-dagang yang mematuhi Syariah,” katanya. Beliau menyuarakan keyakinan bahawa PayHalal akan dapat berkembang melepasi Desa Emas pada masa depan di pasaran Indonesia yang mempunyai 270 juta penduduk, dengan 87 peratus terdiri daripada masyarakat Islam.

Permintaan daripada pengguna Islam ini akan mendorong pembangunan produk halal yang dipacu pasaran selain sektor perkhidmatan, katanya.

“Dengan mengambil kira usaha serius Presiden Indonesia Joko Widodo untuk membangunkan industri Halal di Indonesia, kami bersedia dan yakin PayHalal akan memainkan peranan aktif dalam pembangunannya sebagai pembekal perkhidmatan kewangan patuh Syariah,” katanya.

Malah, beliau berkata Indonesia menduduki tempat ke-10 dalam Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) tahun lepas, meningkatkan kedudukannya dalam segmen fesyen sederhana, namun masih ketinggalan dalam kewangan Islam, makanan Halal, farmaseutikal dan kosmetik Halal serta perjalanan Halal. – Bernama