PB anjur Jerayawara RBS ke-3

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Politeknik Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Politeknik Brunei baru-baru ini mengadakan Jerayawara Reciprocal Borrowing Scheme (RBS) kali ketiga di Kampus Utama, Jalan Ong Sum Ping di ibu negara.

Jerawayara itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Perpustakaan Politeknik Brunei, Awang Abdul Muiz bin Ahmad Hussin yang turut menyampaikan ucapan-aluan, kemudian melancarkan jerayawara.

Awang Abdul Muiz dalam ucapannya antara lain mengharapkan objektif RBS iaitu memperkenalkan pusat-pusat rujukan bahan bacaan akademik pengajian tinggi dan TVET dapat dicapai.

Beliau juga menekankan jerayawara dihasrat dapat meningkatkan peminjaman dan penggunaan bahan bacaan akademik dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi dan TVET dan menggalakkan guna sama fasiliti dan sumber-sumber kerajaan yang ada secara efisien.

Menurutnya lagi, jerayawara yang mula diperkenalkan pada 15 Mac 2017 itu diharap memberi manfaat kepada pengguna perpustakaan.

“Pada era digital ini, kita hendaklah berkemampuan mengeksploitasikan teknologi terkini bagi tujuan mempromosikan perkhidmatan perpusataan. Contohnya menggunakan sepenuhnya sistem Opac dengan mengintegrasikannya bersama kod QR, dalam usaha memudahkan akses katalog perpustakaan kepada pengguna di mana-mana sahaja, sekali gus berupaya menggiatkan minat pengguna untuk membaca dan mengkaji,” tambahnya.

Skim ini juga membolehkan pengguna daripada institusi pengajian tinggi dan TVET berlainan meminjam bahan bacaan secara percuma, dengan 12 institusi sudah pun menjadi ahli skim dan melalui RBS ini, ia telah mengambil langkah proaktif merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menitikberatkan guna sama sumber bagi mengelakkan pembaziran, katanya.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh para pegawai perpustakaan dan pustakawan dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan para pelajar Politeknik Brunei.

Awang Abdul Muiz semasa merasmikan jerayawara tersebut.