Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    PB anjur riadah walkaton

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sempena memperingati ulang tahun penubuhannya yang ke-10, Politeknik Brunei (PB) telah menganjurkan walkaton amal yang bermula dan berakhir di Kampus PB, Ong Sum Ping, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan melepaskan para peserta walkaton ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola PB.

    Turut serta menyertai acara tersebut ialah ahli Lembaga Pengelola PB, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, Pemangku Pengarah PB, kakitangan dan para pelajar PB.

    Acara telah dimulakan dengan senaman memanaskan badan yang diketuai oleh pelajar-pelajar PB dan diteruskan dengan berjalan kaki di kawasan sekitar Jalan Ong Sum Ping.

    Selepas itu, tetamu kehormat dibawa melawat pameran projek-projek pelajar tahun akhir.

    Sesi pemanasan badan sebelum bermulanya acara walkaton sempena ulang tahun PB ke-10. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Turut menyertai pameran adalah pelajar-pelajar Politeknik Brunei yang menjual pelbagai barangan, minuman dan makanan.

    Ia merupakan inisiatif pelajar dan kakitangan untuk mempamerkan produk serta keusahawanan kepada Lembaga Pengelola PB serta pihak-pihak yang berkepentingan.

    Salah satu produk menarik yang dipamerkan adalah Tag Tech iaitu kad e-perniagaan berasaskan NFC yang membolehkan pengguna berkongsi semua maklumat berkaitan mereka yang boleh diakses dengan mudah.

    Awang Helmi bin Salleh dari Tag Tech berkata, mereka mula membangunkan perisian untuk memprogramkan kad berkenaan pada Jun lalu.

    Dengan produk akhir mereka, tambah beliau, pelanggan telah memberikan sambutan hangat dengan beberapa syarikat mendekati mereka untuk bekerjasama bagi menghasilkan kad mereka sendiri.

    Beliau menambah bahawa projek mereka seterusnya ialah untuk membangunkan e-menu.

    Acara diakhiri dengan cabutan bertuah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis yang diadakan di kawasan lobi kampus.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...