Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Sebagai satu-satunya institusi politeknik di Negara Brunei Darussalam, Politeknik Brunei (PB) mempunyai peranan yang signifikan dalam menyediakan sumber manusia yang berkualiti bagi menyokong pembangunan serta kemajuan sosio-ekonomi negara.
PB perlu untuk menyasarkan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Pembangunan PB 2021-2025 sejajar dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022; Brunei Darussalam Digital Economy Masterplan 2025; dan Economic Blueprint negara ini dengan asas utama untuk mencapai matlamat Wawasan 2035.
Perkara tersebut antara yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, semasa menghadiri Majlis Konvokesyen PB ke-7 bagi tahun 2020 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
“Saya penuh berharap PB akan dapat terus maju ke hadapan untuk menjayakan pelan pembangunan tersebut dengan menawarkan pendidikan dan latihan yang berkualiti didorong oleh keperluan industri khususnya dalam menghasilkan graduan yang inovatif dan siap sedia untuk masa hadapan sepertimana dalam misi dan visi PB,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Pada masa yang sama, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menekankan kepada para graduan untuk memanfaatkan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi.
Para graduan juga diseru untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar para graduan sentiasa relevan dan mempunyai pengetahuan terkini dalam apa jua bidang yang diceburi.
Terdahulu sebelum itu, Yang Berhormat Dato menyatakan Negara Brunei Darussalam seperti negara lainnya pada ketika ini masih bergelut dengan wabak COVID yang mana telah memberikan cabaran dalam banyak aspek kehidupan dan salah satu sektor yang terkesan ialah sektor Pendidikan.
“Alhamdullilah, di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara kita telah beralih ke Fasa Awal Endemik di mana kita telah mengintegrasi norma baharu ke dalam kehidupan seharian.
“Kementerian Pendidikan sedang dan akan terus melaksanakan pelbagai usaha dalam memartabatkan kualiti pendidikan di negara ini.
“Kementerian Pendidikan melalui institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, seperti Politeknik Brunei dengan kerjasama padu dari setiap pihak berkenaan melalui pendekatan whole of nation, Insya-Allah akan dapat menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti tinggi, berdaya tahan, dinamik dan mampan selaras dengan hasrat negara bagi mencapai Wawasan 2035,” tambah Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Seterusnya beliau turut menyambut baik usaha-usaha yang dilaksanakan oleh PB dalam meningkatkan lagi kuali-ti pengajaran dan pembelajaran bagi membantu para pelajar mengadaptasi diri mereka kepada norma baharu.
“Antara inisiatif PB ialah penggunaan PB Learning Management System (PBLMS) dan PB Virtual Learning Experience (PBVLX) yang mana membolehkan para pelajar dapat mengakses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dengan menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, unik dan interaktif.
“Bagi menampung keperluan untuk pembelajaran hibrid dalam norma baharu ini, PB mempunyai projek rintis PB Hybrid-Flexible (HyFlex) Blended Teaching and Learning yang merupakan sebuah model penyampaian kursus yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara bersemuka di lokasi fizikal yang disegerakkan (synchronised) dengan pembelajaran dalam talian.
“Saya menyambut baik perkara tersebut kerana ia merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh PB bagi tujuan penambahbaikan program-program yang sedia ada. Saya juga berharap agar institusi pendidikan yang lain akan mengambil peluang untuk mengintegrasikan teknologi untuk memenuhi keperluan norma baharu ini.
“Saya juga turut difahamkan bahawa pelajar-pelajar serta tenaga pengajar PB juga melibatkan diri sebagai sukarelawan barisan hadapan di pusat-pusat klinikal dan menjayakan Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 di pusat-pusat vaksinasi kebangsaan.
“Pengalaman yang diperolehi oleh para pelajar dan tenaga pengajar PB adalah sangat bermanfaat kerana secara tidak langsung ianya dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mempraktikkan nilai-nilai murni dan mempelajari perkara-perkara baru, yang mungkin tidak diperolehi di dalam bilik kuliah, di samping dapat mewujudkan rangkaian kerjasama yang sangat berguna apabila para pelajar menamatkan kursus masing-masing nanti.”