PB, MSU tandatangani MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Politeknik Brunei (PB) dan Management and Science University (MSU), Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) secara maya hari ini.

Majlis penandatanganan bagi pihak PB telah berlangsung di Aras 9, PB, Kampus Utama, Jalan Ong Sum Ping. Manakala bagi pihak MSU, majlis telah diadakan di Studio MSUTV, Aras 15, Menara Pengurusan, MSU, Malaysia. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dato Wira Dr Mohd Shukri Abdul Yajid, selaku standing witness bagi majlis tersebut.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon mewakili PB dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dato’ Dr Junainah Abdul Hamid, bagi mewakili MSU.

Turut menyaksikan majlis penandatanganan itu bagi pihak PB adalah Ketua Sekolah Sains Kesihatan PB, Dayang Armah binti Tengah dan wakil daripada pihak MSU ialah Naib Presiden bagi Akademik MSU, Profesor Datin Dr Norhisham Mohamad.

Majlis MoU itu merupakan salah satu bentuk respons bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman terbaik antara PB dengan institusi pengajian tinggi negara sahabat.

Kerjasama ini turut melibatkan program pertukaran kakitangan, pertukaran pelajar, pertukaran kredit bagi graduan yang tamat pengajian bengkel, latihan dan kursus bersama.

Selain itu, kerjasama itu termasuk mengadakan seminar dan persidangan bersama serta kerjasama dalam pelbagai bidang dan aktiviti, keberkesanan pengajaran serta pembelajaran yang diberikan kepada para pelajar dan dalam mana-mana bidang-bidang yang diyakini bermanfaat kepada kedua belah pihak.

Lim Kian Boon dan Dayang Armah semasa majlis penandatanganan memorandum persefahaman tersebut. – Gambar serahan Politeknik Brunei