Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    PB: Perspektif baharu kemajuan ilmu

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar fail serahan PB

    Demi untuk mempercepatkan pembangunan sumber manusia khususnya bagi mencapai matlamat negara menerusi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dan menuju Wawasan Brunei 2035, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Politeknik Brunei (PB) semasa bertitah pada Sambutan Hari Guru, 18 Oktober 2008.

    Transformasi pendidikan teknikal ini adalah bertepatan untuk menuju evolusi landskap ekonomi tempatan dan global yang secara langsung mempengaruhi kemahiran anak bangsa mengikuti peredaran semasa dan keperluan masa hadapan bagi mewujudkan tenaga kerja negara.

    Dalam kenyataan PB hari ini, institusi pengajian tinggi itu akan menyertai Ekspo Maya Pengajian Tinggi 2022 anjuran Kementerian Pendidikan buat kali ke-7 tahun ini yang akan berlangsung pada 5 Februari ini selama tujuh hari.

    Ekspo tersebut membuka peluang kepada para pelajar lepasan menengah dan menengah atas untuk melanjutkan pengajian seterusnya di institut ini yang bukan saja menawarkan banyak kursus dan program yang diiktiraf malah PB sudah melahirkan ribuan graduan.

    Detik awal perjalanan PB

    PB membuka pintunya dan memulakan operasinya pada Januari 2012 dengan memperkenalkan sembilan program Diploma Lanjutan selama dua tahun dalam pelbagai bidang perniagaan, ICT dan sains dan kejuruteraan.

    Kursus Diploma dalam Arkitektur dan Diploma dalam Reka Bentuk Dalaman antara program yang ditawarkan di bawah Sekolah Sains dan Kejuruteraan (SSE).
    Pelajar yang mengikuti Kursus Diploma Sains Kesihatan (Paramedik) membuat praktikal dalam menyelamatkan nyawa.
    Sekolah ICT menawarkan kurikulum ke tahap standard dalam bidang teknologi dan komunikasi.
    PB menawarkan tujuh program di bawah Sekolah Petrokimia yang berkolaborasi bersama Hengyi Industries (B) Sdn Bhd untuk menyediakan kemahiran penting bagi sektor industri hiliran.

    Tiga tahun kemudian, pada Julai 2015, PB menyemak semula program Diploma Lanjutan berkenaan sehingga mula menawarkan program-program Diploma Peringkat Lima selama tiga tahun tempoh pengajian.

    Kelayakan program berkenaan setaraf dengan Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dan diiktiraf oleh Majlis Akreditasi Negara Brunei Darussalam (BDNAC), Kementerian Pendidikan.

    Dengan menggenggam visi Generating Innovative and Future Ready Graduates dan misi To Deliver Industry Driven Quality Education and Training, PB telah membawa perspektif baharu kepada kemajuan ilmu yang disediakan sehingga kini.

    PB di bawah nilai teras tunggalnya, iaitu Taffawuq (Kecemerlangan), ia terus melakar kecemerlangan institusi dalam pendedahan perkhidmatan-perkhidmatannya dengan kemajuan dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) sehingga tercetusnya tagline baharu PB dengan panggilan ‘Proud Bruneian’.

    Tetap fokus kualiti menyeluruh

    Dengan adanya jalinan kerjasama dengan industri dan agensi tempatan dan antarabangsa, kini sebanyak 31 program Diploma telah diketengahkan di PB di bawah lima bahagian sekolah terdiri daripada Sekolah Perniagaan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan dan Sekolah Petrokimia.

    Sejak penubuhannya, PB kekal fokus ke arah meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran untuk semua program, selaras dengan piawaian institusi pengajian tinggi antarabangsa.

    Ia dilaksanakan melalui inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Strategik Institusi yang merangkumi pengukuhan sistem pengajaran dan pembelajaran.

    Dalam usaha menambah bilangan kemasukan pelajar yang layak, PB mula membuka dua sesi pengambilan melalui Sistem Kemasukan Berpusat Pengajian Tinggi (HECAS) bagi program terpilih, bermula tahun akademik sesi 2020/2021.

    Memperkasa sistem platform pedagogi

    Pada saat penularan wabak COVID-19 yang melanda tanah air, PB bertindak pantas dengan mengoptimumkan platform PB Learning Management System (PBLMS) yang sedia ada, serta memanfaatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian demi kepentingan bersama secara menyeluruh meliputi aspek keselamatan dan kesejahteraan berdepan krisis kesihatan.

    Selain itu, PB telah mencipta dan memperkenalkan sistem platform pengajaran dalam talian, yang dikenali sebagai PB Virtual Learning Experience (PBVLX)©. Sistem ini sememangnya suatu yang mampu mewujudkan peluang berharga untuk mengukuhkan integrasi teknologi ke dalam pedagogi dan menyemai kemahiran abad ke-21 dalam diri pelajar khususnya dalam literasi digital.

    Manakala setelah tercetusnya gelombang kedua COVID-19, semangat PB tidak pernah luntur begitu sahaja dalam membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan berkesan, iaitu menerusi menerapkan sistem baharu, disebut dengan nama HyFlex Education and Training.

    Ia merangkumi pengajaran dan pembelajaran hibrid yang membolehkan pelajar hadir secara fizikal dan maya di dalam kelas yang mana sistem baharu ini juga menawarkan fleksibiliti dan akses yang sama kepada pendidikan berkualiti untuk pelajar PB.

    Penerimaan anugerah berprestij

    PB juga telah dianugerahkan dan diperakui semula dengan International Organization for Standardisation (ISO) 9001:2015 oleh Bureau Veritas (BV) yang sekali gus menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi pertama di negara yang diperakui sepenuhnya, khususnya dalam menyediakan pendidikan Diploma Peringkat 5 dalam bidang perniagaan, teknologi komunikasi maklumat, sains dan kejuruteraan, dan sains kesihatan.

    Bagi menyokong visi institusi untuk memupuk inovasi, PB juga merupakan ahli institusi dalam Oracle Academy iaitu sebuah akademi yang memajukan pendidikan sains komputer secara global untuk memacu dan meningkatkan pengetahuan, inovasi, pembangunan kemahiran dan kepelbagaian dalam bidang teknologi.

    Secara tidak langsung, ia menawarkan kedua-dua golongan pendidik dan pelajar sumber pendidikan sains komputer. Dengan adanya keahlian berkenaan, ia dapat membantu mengekalkan PB untuk terus membangunkan bakat ICT dalam jiwa anak bangsa Brunei terutamanya mereka yang meminati ICT atau teknologi secara amnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...