Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB-PUJA eratkan kerjasama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Dalam usaha untuk menubuhkan, mempromosikan dan membangunkan kerjasama dalam bidang kejuruteraan, hiasan dalaman dan arkitek, Politeknik Brunei (PB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek Brunei (PUJA).
     
      Majlis penandatanganan berlangsung di Pejabat PUJA, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini di mana menandatangani bagi pihak PB ialah Pemangku Pengarah, Lim Kian Boon dan PUJA diwakili oleh Presiden, Sr Haji Awang Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman.
     
    Turut menyaksikan penandatanganan berkenaan bagi pihak PB ialah Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan (SSE) PB, Haji Mohammad Reizal bin Mohammad Ali dan bagi pihak PUJA ialah Naib Presiden, Ir Chin Lee Tuck.
     
    Terdahulu, Haji Mohammad Hanafi dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa penandatanganan MoU itu menunjukkan satu lagi mercu tanda penting dalam kerjasama berterusan antara PB dan PUJA.
     
    Beliau menambah bahawa MoU itu menandakan satu langkah signifikan bagi kerjasama masa depan antara kedua-dua belah pihak di mana ia akan menyediakan peluang bagi penyelidikan dan program latihan dalam bidang arkitek, hiasan dalaman dan kejuruteraan.
     
    Haji Awang Mohammad Hanafi dan Lim Kian Boon menunjukkan dokumen yang dimeterai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Sr Haji Awang Mohammad Hanafi dan Lim Kian Boon ketika menyampaikan ucapan sebelum majlis penandatanganan MoU. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sementara itu, Lim Kian Boon dalam kata alu-aluannya pula berkata kerjasama itu menjelaskan langkah ke hadapan dalam memupuk kerjasama erat antara kedua-dua institusi dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan program latihan.
     
    Beliau berkata penandatangan MoU itu bukan sahaja satu perjanjian formal tetapi ia merupakan komitmen kepada pertumbuhan, pembangunan dan memperkayakan komuniti profesional serta akademik.
     
    Lim Kian Boon juga yakin kolaborasi berkenaan akan membuahkan hasil dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan profesional dan pendidikan pelajar-pelajar mereka.
     
    Melalui MoU itu, kedua-dua belah pihak akan melaksanakan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk menubuhkan PUJA PB Student Chapter iaitu sebuah pertubuhan khusus bagi pelajar-pelajar PB bagi mendapatkan peluang secara profesional dalam pembelajaran dan membangun kemahiran kepimpinan, menjalinkan rangkaian kerjasama dan peluang tunjuk ajar, keahlian pelajar iaitu untuk menggalakkan pelajar-pelajar PB untuk mendaftar sebagai PUJA Student Affiliate Member serta bidang-bidang kerjasama yang bersesuaian.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda