PB rai Aidilfitri bersama pelajar, atlet istimewa

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Lebih 30 orang pelajar Pusat Bahagia dan beberapa atlet Paralimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah diraikan pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Politeknik Brunei (PB) yang berlangsung di One Stop Centre, PB, hari ini.

Ia adalah salah satu usaha PB untuk memupuk rasa bertanggungjawab, prihatin dan sikap kesukarelawan dalam kalangan masyarakat sekeliling.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Pengarah PB, Denis Ho Mun Tai kepada Pengetua Pusat Bahagia, Awang Mohd Nasrullah El-Hakiem bin Haji Mohammed.

Denis Ho Mun Tai menyampaikan sumbangan kepada Awang Mohd Nasrullah El-Hakiem pada majlis yang diadakan di One Stop Centre, PB, kelmarin.
Antara atlet paralimpik dan pelajar dari Pusat Bahagia serta ahli keluarga mereka diraikan pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PB.

Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada warga PB yang dikendalikan di bawah Program Tanggungjawab Sosial Komuniti PB yang diadakan setiap tahun.

Turut hadir di majlis itu ialah Penolong Pengarah PB, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, wakil Pusat Bahagia, pegawai-pegawai, ibu-bapa dan penjaga pelajar Pusat Bahagia, pendaftar, ketua-ketua jabatan dan sekolah, pegawai dan para pelajar PB.

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan daripada pancaragam khas Pusat Bahagia, UNIQ Band.