PB tawar program menarik

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Ketika negara berusaha mempelbagaikan sumber ekonomi untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan negara, tenaga kerja yang mantap serta mempunyai kemahiran-kemahiran dan kecekapan global yang tinggi dan relevan sangat diperlukan.

Sehubungan itu, Politeknik Brunei (PB) akan menawarkan program-program Diploma Level 5 yang lebih menarik selama tiga tahun kepada pelajar yang mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan kredit lima GCE ‘O’ Level berasaskan kepada keperluan subjek yang relevan dan juga kepada pelajar yang mempunyai kelulusan teknikal dan vokasional yang berkaitan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, bagi sesi pengambilan ke-10, tahun akademik 2020/2021, PB mengadakan sesi pengambilan pusingan kedua yang mana sesi akademik pengambilan ini akan bermula pada Januari 2021.

Ini merupakan kali pertama PB mengadakan pengambilan pusingan kedua dalam satu sesi pengambilan yang sama semenjak penukaran nama program yang ditawarkan PB daripada Advanced Diploma ke Diploma Level 5.

PB turut memaklumkan bahawa program Diploma dalam Kejuruteraan Kimia hanya ditawarkan sekali setahun iaitu setiap Januari, manakala program-program selebihnya yang dinyatakan hanya akan ditawarkan sekali dalam tempoh dua tahun dan hanya akan ditawarkan pada pusingan kedua sesi pengambilan iaitu pada pengambilan sesi Januari.

Menurut kenyataan, setiap program mempunyai syarat-syarat kemasukannya tersendiri, akan tetapi syarat-syarat minima adalah sekurang-kurangnya mempunyai lima kredit O level yang termasuk mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik serta tiga lagi mata pelajaran yang relevan bagi program yang dipohonkan.

Untuk makluman lebih lanjut bagi syarat-syarat kemasukan ke PB, orang ramai boleh lah melayari laman sesawang kami melalui pautan alamat www.pb.edu.bn atau instagram @politeknikbrunei.