Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

    ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa tiga bulan akan datang, ketika angka kematian akibat banjir besar meningkat hari ini.

    Pihak berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan melaporkan banjir akibat monsun hujan lebat luar biasa itu telah meragut 1,695 nyawa setakat ini, Ia turut menjejaskan 33 juta orang dan merosakkan lebih daripada 2 juta rumah serta mengakibatkan ratusan ribu orang berpindah yang kini tinggal di khemah atau pondok sementara.

    Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam laporan terbaharunya pada Sabtu mengatakan banjir dijangka meningkatkan lagi ketakjaminan makanan di Pakistan dan meramalkan 5.7 juta orang di kawasan banjir akan berhadapan krisis makanan antara September sehingga November.

    Malah sebelum banjir lagi, menurut Pertubuhan kesihatan Sedunia, 16 peratus daripada populasinya hidup dalam ketak-jaminan makanan berskala sederhana atau teruk.

    Walau bagaimanapun, kerajaan Pakistan menidakkan kebimbangan segera mengenai bekalan makanan, menekankan stok gandum adalah mencukupi untuk menampung negara sehingga tuaian seterusnya dan kerajaan juga sedang mengimport banyak lagi.

    OCHA dalam satu ciapan pada Isnin mengatakan agensi dan rakan agensi lain telah meningkatkan respons banjir mereka dan menghantar bantuan kepada 1.6 juta orang yang terjejas secara langsung akibat banjir besar itu.

    OCHA menjelaskan penularan penyakit bawaan air dan penyakit lain turut meningkat di Sindh dan wilayah barat daya Baluchistan di mana banjir mengakibatkan kerosakan paling besar sejak pertengahan Jun.

    Laporan OCHA juga menyerlahkan kesengsaraan mangsa banjir, mengatakan masih ramai terus hidup dalam ‘khemah sementara yang kurang bersih keadaannya, sering kali terhad akses perkhidmatan asas, menambahkan lagi risiko krisis kesihatan awam lebih besar. – AP

    Kanak-kanak bermain di luar khemah sementara mangsa banjir di Jaffarabad, Pakistan. Agensi PBB melaporkan mangsa-mangsa banjir Pakistan dijangka terdedah kepada krisis makanan dalam masa tiga bulan akan datang. –AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...