AMERIKA SYARIKAT, 27 OKT – Semua mesyuarat secara fizikal di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dibatalkan hari ini selepas sebuah negara anggota melaporkan lima kakitangan mereka diuji positif dijangkiti koronavirus.
Perkhidmatan perubatan PBB menyarankan pembatalan mesyuarat sementara menunggu jejak kontak orang yang dijangkiti, kata presiden Perhimpunan Agung PBB, Volkan Bozkir dari Turki, dalam sepucuk surat pada petang semalam kepada 193 negara anggota PBB. Bozkir tidak berkata misi PBB yang mana satu yang melaporkan jangkitan COVID-19 tetapi satu sumber yang rapat dengan perkara itu berkata ia adalah negara Niger, yang mempunyai satu kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan.
Majlis 15 anggota telah merancang mengadakan mesyuarat bulanan secara fizikal hari ini mengenai Syria tetapi ia akan diadakan secara maya sekarang.
Ia merupakan kali pertama PBB membatalkan mesyuarat secara fizikal disebabkan pandemik sejak mereka diteruskan pada musim panas. Bagaimanapun, kebanyakan sesi masih diadakan secara maya. – AFP