PBB: Bawa semula pengeluaran Rusia, Ukraine ke pasaran dunia

NEW YORK, 20 MEI – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Khamis menggesa supaya usaha diadakan untuk membawa semula pengeluaran pertanian Rusia dan Ukraine ke pasaran dunia.

“Sebarang penyelesaian bermakna kepada kekurangan bekalan makanan global memerlukan penyepaduan semula pengeluaran pertanian Ukraine, selain pengeluaran makanan dan baja oleh Rusia dan Belarus ke pasaran dunia – walaupun ketika perang,” kata Ketua PBB itu pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai konflik dan keselamatan makanan.

“Kami sedang berusaha untuk mencari perjanjian pakej yang akan membolehkan Ukraine mengeksport makanan, bukan sahaja dengan kereta api tetapi melalui Laut Hitam, dan akan membawa pengeluaran makanan dan baja Rusia ke pasaran dunia, tanpa sekatan,” kata pegawai tertinggi PBB itu, lapor Xinhua.

Guterres berkata usaha itu memerlukan “semangat muhibah semua negara yang berkenaan”.

Bagi memenuhi keperluan keselamatan makanan dan pemakanan yang mendesak di Niger, Mali, Chad dan Burkina Faso, setiausaha agung mengumumkan pengeluaran US$30 juta daripada Tabung Respons Kecemasan Pusat (CERF) bagi tujuan itu.

“Ini menjadikan hampir AS$95 juta pembiayaan sudah disalurkan melalui CERF ke Sahel (wilayah barat dan utara tengah benua Afrika meliputi Burkina Faso, Cameroon, Chad, The Gambia, Guinea Mauritania, Mali, Niger, Nigeria and Senegal) sejak awal tahun ini,” katanya. – Bernama