PBB bimbang pembunuhan pelarian di Uganda

KAMPALA, 15 SEPT – Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata mereka berasa ‘sedih dan risau’ selepas sekurang-kurannya 10 orang pelarian dibunuh dalam serangan minggu lalu oleh penduduk setempat di utara Uganda di tengah-tengah ketegangan mengenai sumber yang semakin terhad.

Sekurang-kurangnya 19 yang lain mengalami kecederaan dalam pertelingkahan, termasuk seorang ahli komuniti di penempatan pelarian Rhino. Seramai 15 buah rumah pelarian dimusnahkan dan 26 yang lain dirompak dan dirosakkan, menurut agensi PBB dalam satu kenyataan.

Seramai 10 orang pelarian lagi masih hilang, menurut kenyataan, menyeru pihak berkuasa setempat untuk ‘mencari mereka dengan segera’. Mereka berkata agensi sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat insiden itu dan ‘menjelaskan kejadian yang berlaku, termasuk peranan pihak berkuasa tempatan.’

Jurucakap polis tidak memberikan sebarang komen. Keganasan telah dilaporkan bertahun-tahun lamanya di petempatan yang menempatkan ratusan ribu pelarian dari negara jiran Selatan Sudan, termasuk pertempuran dengan beberapa puak kumpulan etnik. Tetapi keganasan jarang membawa kematian.

Meskipun Uganda telah dipuji kerana membukakan sempadan mereka kepada pelarian, pihak berkuasa memberi amaran sumber asli setempat yang semakin berkurangan dan sesetengah pihak berkata komuniti antarabangsa tidak lagi memberikan bantuan yang secukupnya. – AP