PBB bincang prospek damai di Yaman

ADEN, 11 Julai – Perwakilan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Yaman telah mengadakan pertemuan bersama presidennya semalam dalam satu lagi pusingan rundingan yang bertujuan untuk mengusahakan gencatan senjata antara kerajaan dan pemberontak.

Presiden Abedrabbo Mansour Hadi telah membincangkan mengenai ‘prospek perdamaian’ dengan Martin Griffiths dari PBB, lapor agensi berita kerajaan Saba.

Kerajaan Hadi yang diiktiraf oleh antarabangsa, bersekutu dengan pakatan tentera yang dipimpin Saudi dalam peperangan menentang pemberontak Syiah Huthi Yaman yang disokong Iran.

Griffiths memberitahu media kerajaan bahawa dia dan presiden telah membincangkan kemungkinan rundingan politik untuk disambung semula antara kerajaan Yaman dan pemberontak.

Dia juga menimbulkan idea mengenai ‘pembebasan dan pertukaran tahanan’, berikutan laporan media berhubung penjara rahsia di Yaman di mana para tahanan telah menjadi mangsa penyeksaan.

Gambar fail bertarikh 9 Mei 2017 menunjukkan pemandangan di sebalik tingkap sebahagian Pusat Penjara Aden yang dikenali sebagai Mansoura di Yaman. Presiden Abedrabbo Mansour Hadi dan Martin Griffiths telah membincangkan mengenai prospek damai di Yaman, kelmarin. – AP

Kerajaan Yaman telah mengumumkan bahawa ia akan menyiasat penjara-penjara di kawasan-kawasan yang dikawalnya.

Kerajaan, yang disokong oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan sekutu serantau mereka, berperang untuk pemberontak Huthi yang berpangkalan di utara bagi mengawal negara miskin itu.

Konflik kini bertumpu di bandar Laut Merah Hodeida, di tempat terletaknya pelabuhan paling bernilai yang dikuasai oleh pemberontak Huthi.

Pada 13 Jun lalu pasukan Yaman yang dibantu tentera UAE di darat, telah melancarkan serangan besar untuk menawan semula Hodeida, laluan masuk kira-kira 70 peratus barangan import ke negara itu di mana lapan juta rakyatnya berdepan krisis kebuluran.

Pada 1 Julai lalu UAE mengumumkan ia telah menghentikan serangan untuk memberi peluang kepada usaha-usaha diplomatik PBB. – AFP