TRIPOLI, 15 Jan – Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Ketua Misi Bantuan PBB di Libya, Ghassan Salame, pada Ahad berjanji untuk mendedahkan butiran sebuah kapal Libya yang dirampas oleh Pengawal Pantai Greece kerana membawa bahan letupan beberapa hari lepas, lapor agensi berita China Xinhua.
“Keputusan antarabangsa untuk mengharamkan eksport senjata api adalah jelas dan eksplisit. Pasukan pakar akan melakukan tugasnya secara profesional dan adil untuk memperjelas kebenaran Andromeda (nama kapal terbabit) serta yang lain,” kata Salame menerusi akaun Twitter pada Ahad.
“Libya perlukan keselamatan dan keamanan, bukan peledak atau bahan letupan,” kata Salame.
Majlis Keselamatan PBB telah mengharamkan penjualan atau pembekalan senjata api ke Libya sejak 2011.
Pihak berkuasa Libya yang tidak sehaluan di bahagian timur dan barat telah menggesa agar sekatan senjata api ditarik balik.
Pengawal Pantai Greece mengumumkan pada Rabu bahawa mereka telah merampas sebuah kapal dengan bendera Tanzania kerana membawa bahan yang digunakan untuk membuat bahan letupan ketika belayar ke Libya.
Rekod kargo kapal itu menunjukkan bahawa kargonya telah diisi di pelabuhan Mersin dan Iskenderun, Turki sebelum menuju ke Djibouti dan Oman. – Bernama