PBB dijangka mulakan tugas di Rakhine

NAY PYI DAW, 18 Julai – Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dijangka memulakan tugas di utara negeri Rakhine tidak lama lagi meskipun hanya mencapai sedikit kemajuan selepas hampir dua bulan Myanmar dan dua agensi PBB memeterai satu memorandum persefahaman (MoU).

Myanmar Times, sebuah akhbar berbahasa Inggeris, telah memetik seorang jurucakap UNHCR di Myanmar sebagai berkata badan itu kini mengadakan mesyuarat dengan kerajaan mengenai cara terbaik untuk melaksanakan MoU tersebut bagi memastikan kemajuan yang cepat dan ketara.

“Kami telah mengenal pasti beberapa kawasan perintis untuk melaksanakan keperluan, penilaian dan kemungkinan projek berimpak cepat yang bakal memanfaatkan semua komuniti di utara perbandaran Rakhine,” katanya.

Beliau berkata kakitangan UNHCR dan Program Pembangunan PBB telah tiba di negara itu dan kini menunggu untuk menyelesaikan kebenaran perjalanan sebelum menuju ke tempat kerja mereka bagi memulakan tugas di perbandaran Maungdaw.

Menurut Kementerian Buruh, Imigresen dan Penduduk, kerja-kerja pemulihan serta pembangunan di 30 kampung yang terjejas akibat konflik di Rakhine akan bermula minggu ini berdasarkan MoU itu.

Menterinya, U Thein Swe, pada Ahad berkata agensi kerajaan dan PBB telah membentuk satu jawatankuasa kerja bagi melaksanakan projek perintis itu dalam bidang pemulihan dan pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran yang mampu menggalakkan orang ramai pulang dengan membina kepercayaan.

Timbalan Speaker Parlimen Rakhine, U Mya Than, berkata agensi PBB telah berbincang dengan Parlimen untuk melakukan tinjauan di tiga kampung yang terletak di utara Rakhine selaras dengan MoU itu, meskipun mereka belum mengesahkan tarikh.

Beliau berkata Parlimen serantau juga menunggu untuk melihat jika kerja-kerja yang dilakukan oleh agensi PBB dan kerajaan Myanmar selaras dengan MoU dan akan membincangkannya di Parlimen. – Bernama