PBB: dua pertiga kanak-kanak tanpa akses internet

GENEVA, 2 DIS – Dua pertiga kanak-kanak sekolah di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada internet di rumah, menurut laporan PBB kelmarin, meskipun penutupan sekolah disebabkan pandemik telah menjadikan akses dalam talian sangat penting untuk mengikuti pembelajaran.

Dianggarkan 1.3 bilion kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun tidak mempunyai akses internet di rumah mereka, menurut laporan bersama dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Laporan turut mendapati kekurangan akses yang sama di kalangan belia dan golongan muda, dengan 63 peratus daripada semua kanak-kanak berusia 15 hingga 24 tahun tidak mempunyai akses di rumah.

“Terlalu ramai kanak-kanak dan golongan muda yang tidak mempunyai internet di rumah merupakan jurang digital yang besar,” menurut kenyataan dari ketua UNICEF, Henrietta Fore.

Kekurangan perhubungan menghalang golongan muda dari ‘bersaing dalam ekonomi moden. Terpinggir dari dunia luar,” katanya. Hasil laporan sangat membimbangkan, ujarnya, pada masa yang sama penutupan sekolah disebabkan oleh COVID-19 kekal berleluasa, memaksa ratusan juta pelajar bergantung pada pembelajaran secara maya.

“Dipendekkan cerita, kekurangan akses internet akan menjejaskan masa depan generasi seterusnya.”

Laporan tersebut mengingatkan bahawa meskipun sebelum pandemik melanda, jurang digital memburukkan ketidaksaksamaan, membenarkan kanak-kanak dari keluarga paling miskin dan kawasan pedalaman atau negara berpendapatan rendah ketinggalan jauh di belakang rakan mereka tanpa peluang menyaingi mereka.

Mereka turut mendapati bahawa kurang daripada satu dalam 20 kanak-kanak bersekolah dari negara berpendapatan rendah mempunyai akses kepada internet di rumah, berbanding sembilan daripada 10 bagi negara kaya.

Rantau sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan adalah rantau di mana kanak-kanak sukar mendapatkan internet, dengan sembilan daripada 10 kanak-kanak tanpa akses di rumah mereka. – AFP

UNICEF menganggarkan kira-kira 1.3 bilion kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun tidak mempunyai akses internet di rumah mereka untuk meneruskan pembelajaran secara maya. – AFP