PBB gesa AS, China jalin kerjasama

AMERIKA SYARIKAT, 21 SEPT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) dan China supaya melibatkan diri dalam dialog, mengingatkan mengenai dunia yang semakin terpisah.

“Saya berasa khuatir dunia kami semakin tidak sehaluan dan menjurus kepada dua set peraturan ekonomi, perdagangan, kewangan dan teknologi, dua pendekatan berlainan dalam pembangunan kecerdasan buatan – dan akhirnya dua strategi tentera dan geopolitik berlainan,” kata Guterres ketika beliau membuka sidang Perhimpunan Agung PBB.

“Ia merupakan resipi masalah. Keadaan adalah jauh tidak dapat diramalkan berbanding Perang Dingin. Demi memulihkan kepercayaan dan merangsang harapan, kita memerlukan kerjasama,” kata beliau.

“Kita memerlukan dialog. Kita memerlukan pemahaman.”

Sidang kemuncak itu akan menyaksikan ucapan pertama kepada badan dunia oleh Presiden Joe Biden, yang telah menyifatkan kebangkitan dan sikap autoritarian China sebagai cabaran utama abad ke-21.

Presiden AS Joe Biden (kanan) dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres semasa mengadakan mesyuarat dua hala di Ibu Pejabat PBB di New York pada 20 September 2021. – AFP

Presiden China Xi Jinping juga dijangka menyampaikan ucapan pada PBB tetapi menerusi video disebabkan sekatan COVID-19.

Guterres berkata perbezaan pendapat di antara dua kuasa besar itu menghalang usaha dalam dasar utama lain termasuk penyelesaian isu rampasan kuasa.

Sejak Februari, tentera telah merampas kawalan di Myanmar dan Guinea dan kerajaan Afghanistan ditawan oleh Taliban.

“Kita menyaksikan ledakan dalam rampasan kuasa secara kekerasan. Rampasan tentera sudah kembali. Kekurangan perpaduan di kalangan komuniti antarabangsa tidak membantu,” menurut Guterres.

“Perpecahan geopolitik melemahkan kerjasama antarabangsa dan membataskan kapasiti Majlis Ke-selamatan untuk mengambil keputusan yang sewajarnya.” – AFP