PBB gesa Greece baiki kem pelarian

PULAU LESBOS, GREECE, 27 NOV – Greece mesti mengambil langkah ‘segera’ untuk memperbaiki keadaan ‘teruk’ di kem penghijrah yang penuh sesak di pulau, kata ketua pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

“Keadaan hidup berkenaan perlu dibaiki segera,” kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pelarian Filippo Grandi selepas melawat kem di Lesbos.

“Apa jua keadaan pelarian berkenaan, kami tidak boleh menerima mereka hidup dalam keadaan sengsara, juga terdedah kepada keganasan dan eksploitasi,” kata Grandi.

Menurut angka kerajaan, terdapat lebih 39,000 pencari perlindungan di pulau itu, dengan beratus lagi tiba setiap hari, mengambil kesempatan ke atas cuaca baik.

Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa berkata terdapat 22,000 orang tambahan dalam kem di kawasan itu, yang hampir penuh atau telah pun melebihi kapasiti.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Filippo Grandi (kanan) bercakap kepada pelarian ketika beliau melawat kem pelarian Kara Tepe di Lesbos kelmarin. – AFP

Kerajaan konservatif Greece pada minggu lalu mengumumkan satu rancangan untuk mengembang dan memperkukuh kem migran di Lesbos, Samos, Chios, Kos dan Leros.

Mereka juga berkata mereka akan bekerja untuk menjadi sempadan ‘ketat’ terhadap kemasukan pencari perlindungan baharu.

Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis juga telah berjanji akan menempatkan semula lebih 4,000 kanak-kanak tanpa diiringi selepas gagal memujuk negara EU supaya menerima kira-kira 3,000 di antara mereka.

Grandi, yang akan berjumpa dengan Mitsotakis lewat hari ini dan mengadakan sidang akhbar esok, berkata beliau menyokong ‘sepenuhnya’ rancangan untuk membawa lebih ramai kanak-kanak ke daratan.

“Saya amat risau dan saya tahu PM amat bimbang mengenai kanak-kanak, kami perlu melakukan usaha maksimum, secara kolektif, untuk membantu kanak-kanak berkenaan,” kata beliau.

“Eropah perlu melakukan lebih untuk Greece, ia adalah sebahagian daripada Kesatuan Eropah,” tambah beliau.

Pihak berkuasa di Lesbos dan Samos telah menimbulkan tentangan mengenai pembinaan kem baharu untuk menempatkan lebih 5,000 pencari perlindungan setiap satunya. – AFP