PBB hantar dua pakar ke Malawi

MACHINGA, Malawi, 15 Mac – Presiden Malawi, Peter Mutharika semalam berkata bahawa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar dua orang pakar ke Malawi dalam tempoh dua minggu akan datang untuk menyiasat kes serangan dan pembunuhan mereka yang hidup dalam albinisme.

Mutharika membuat pengumuman itu di daerah timur Machinga, yang merupakan salah satu daerah yang mencatatkan paling banyak kes penculikan dan pembunuhan ke atas albino.

“Saya ingin mengumumkan bahawa PBB akan menghantar dua orang pakar untuk menyiasat kes pembunuhan, mencari mereka yang terbabit dalam tindakan kejam itu, di mana pasarannya, dan sekiranya ada, di mana letaknya,” kata Mutharika apabila melawat orang ramai yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir baru-baru ini. Pengumuman Mutharika menyusuli beberapa siri kritikan daripada pembangkang, pertubuhan setempat dan antarabangsa bahawa beliau telah gagal menghentikan pembunuhan itu.

Pada 28 Februari, Mutharika telah bertemua sekumpulan albino di kediaman presidennya di mana beliau membuat tujuh perjanjian, termasuklah mengarah Menteri Keadilan dan Hal Ehwal Perlembagaan agar melibatkan penyiasat antarabangsa untuk menyelidiki kekejaman yang berlaku.

Pemimpin Malawi juga telah menubuhkan suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kes pembunuhan yang telah mengejutkan negara sub-Sahara itu.

Satu jawatankuasa parlimen khas, yang ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan itu, mencadangkan pada awal minggu ini bahawa penyiasat asing harus terlibat dalam siasatan ‘disebabkan agensi keselamatan kerajaan seperti polis dan perisikan telah gagal.’

Mutharika juga telah mengarahkan perbendaharaan negara agar mengeluarkan kira-kira AS$4.1 juta untuk membiayai pelaksanaan Pelan Tindakan Negara 2015 (NAP), yang termasuk melengkapi dan memperkasakan pasukan polis untuk melindungi penduduk yang hidup dalam albinisme. – Xinhua

Gambar fail bertarikh 4 September lalu menunjukkan Mutharika ketika menyertai mesyuarat yang diadakan di Beijing, China. – Xinhua