PBB: Hanya vaksin dapat kembalikan keadaan ‘normal’

NEW YORK, 16 APRIL – Vaksin COVID-19 mungkin merupakan satu-satunya perkara yang dapat mengembalikan keadaan seperti biasa atau ‘normal’, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kelmarin, dengan harapan ia dapat dilakukan sebelum akhir tahun ini.

“Vaksin yang selamat dan berkesan mungkin satu-satunya alat yang dapat mengembalikan dunia kepada keadaan ‘normal,’ menyelamatkan berjuta-juta nyawa dan berjuta-juta dolar,” tambahnya semasa sidang video dengan 50 atau lebih negara-negara Afrika yang menganggotai PBB.

Beliau turut meminta akses terhadap vaksin COVID-19 dipercepatkan untuk semua pihak dan perlu memiliki `manfaat global sejagat’ sekali gus ‘memudahkan kami untuk mengawal pandemik’.

“Kami memerlukan usaha yang tinggi bagi memastikan stakeholder antarabangsa beroperasi melalui pendekatan yang diselaraskan, bersepadu dan bermanfaat bagi memaksimumkan kecepatan dan skala yang diperlukan untuk penghantaran vaksin sejagat pada akhir tahun ini,” katanya.

Guterres berkata rayuannya pada 25 Mac lalu untuk mengumpul derma AS$2 bilion untuk respons kemanusiaan PBB yang komprehensif terhadap wabak setakat ini berjaya mengumpulkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah itu. – AFP