GENEVA, 8 Ogos – PBB hari ini mengutuk ‘penggunaan kekerasan berleluasa dan bersistematik’ terhadap pembantah di Venezuela, mengatakan angkatan keselamatan dan kumpulan pro kerajaan bertanggungjawab bagi sekurang-kurangnya 73 kematian pembantah.
Membentangkan penemuan awal daripada satu siasatan dijalankan dalam Jun dan Julai, pejabat hak asasi PBB menerangkan ‘satu gambaran berleluasa dan penggunaan sistematik kekerasan melampau serta penahanan rambang terhadap pembantah di Venezuela.’
“Saksi mengatakan bahawa pasukan keselamatan, khususnya Pengawal Kebangsaan, Polis Kebangsaan dan angkatan polis tempatan, menggunakan secara sistematik kekerasan tak seimbang untuk menyemai ketakutan, mematahkan pembantah dan mencegah pembantah daripada berhimpun, rapat umum dan menggapai institusi awam bagi menyerahkan petisyen,” menurut kenyataan pejabat hak asasi.
“Pihak berkuasa kerajaan jarang sekali mengutuk insiden seumpamanya,” tegasnya.
Venezuela yang dibelenggu krisis ekonomi teruk dengan kekurangan bekalan makanan asas, sudah pun menghadapi demonstrasi jalanan selama empat bulan terhadap Presiden Nicolas Maduro yang mengakibatkan 125 orang maut.
Selepas tidak menerima sebarang respons bagi permintaan berulang akses ke Venezuela untuk menyiasat situasi di negara itu, ketua hak asasi PBB Zeid Ra’ad Al Hussein mengerahkan sepasukan pegawai hak asasi kemanusiaan untuk memantau negara itu dari jauh.
Para penyiasat menjalankan 135 temu bual antara 6 Jun dan 31 Julai dengan mangsa-mangsa dan keluarga mereka, para saksi, organisasi sivil awam, wartawan, peguam dan doktor, antaranya.
“Semenjak gelombang demonstrasi bermula dalam April, terdapat satu corak penggunaan kekerasan melampau terhadap pembantah,” kata Zeid dalam satu kenyataan.
“Beberapa ribu orang ditahan secara rambang, ramai dilaporkan mendapat layanan teruk, malah diseksa, manakala beratus-ratus sudah dihadapkan ke mahkamah tentera berbanding mahkamah awam,” katanya, menekankan bahawa ‘corak-corak ini tidak menunjukkan tanda-tanda reda.’
Menurut penemuan awal, angkatan keselamatan dikatakan bertanggungjawab bagi 46 kematian pembantah, manakala kumpulan bersenjata pro kerajaan mendalangi 27 kematian. Tidak jelas siapa yang mendalangi kematian selebihnya, menurut pegawai hak asasi.
Pada masa yang sama, hampir 2,000 orang cedera, manakala lebih daripada 5,050 orang ditahan sewenang-wenangnya, dengan lebih 1,000 dilaporkan masih dalam tahanan, menurut laporan itu. – AFP