PBB: Keganasan meningkat di Darfur

NEW YORK, 18 April – Ketua misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)-Kesatuan Afrika di Darfur memaklumkan Majlis Keselamatan badan dunia itu kelmarin bahawa keganasan meningkat di rantau itu selepas tentera Sudan menggulingkankan Presiden Omar al-Bashir, lapor agensi berita China Xinhua.

” Keselamatan di rantau Sudan Darfur yang tidak menentu telah merosot sejak pengambilalihan tentera minggu lalu di Khartoum,” kata Jeremiah Mamabolo, wakil khas bersama bagi Operasi Hibrid PBB-Kesatuan Afrika di Darfur (UNAMID).

Misi pengaman di Darfur ‘sentiasa berjaga-jaga’ dalam mendepani keganasan yang semakin meningkat, katanya.

Mamabolo berkata seorang jeneral tentera telah diusir keluar dari pejabat susulan tunjuk perasaan berterusan, perintah berkurung harian kini telah ditarik balik dan tahanan politik dijangka dibebaskan, dengan gencatan senjata dilaksanakan di seluruh negara.

“Semalam, Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara telah digantikan,” katanya sambil menambah bahawa pemimpin tentera yang baharu, Abdel-Fattah Al-Burhan, telah mengumumkan satu ‘fasa peralihan ketenteraan,’ yang akan berlanjutan sehingga dua tahun paling lama, sebelum kuasa diserah kepada kawalan awam.

Bagaimanapun tunjuk perasaan masih berterusan, katanya, dan menyatakan bahawa sesetengah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Darfur, di mana tindakan ketenteraan diambil oleh bekas presiden terhadap orang awam dan menyebabkan beliau berdepan pertuduhan melakukan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa sedekad lalu, telah ‘melakukan tindakan ganas’ dengan menyasarkan lokasi kerajaan dan mereka yang dilihat sebagai kolaborator bekas rejim. – Bernama

Penunjuk perasaan Sudan terus melancarkan bantahan mereka di luar kompleks tentera di ibu negara Khartoum pada 17 April lalu. – AFP