PBB: Kos perang Syria hampir AS$400 bilion

BEIRUT, 9 Ogos – Konflik tanpa henti selama tujuh tahun di Syria menyebabkan kemusnahan bernilai hampir AS$400 bilion, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Data itu diterbitkan, selepas mesyuarat dua hari membabitkan lebih 50 pakar dari Syria dan negara jiran Lubnan, anjuran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Barat Asia PBB (ESCWA).

“Jumlah kemusnahan modal fizikal dan sektor pengedarannya dianggarkan lebih AS$388 bilion.

“Data itu tidak mengambil kira kerugian manusia akibat kematian, kerugian akibat kecacatan dan buruh berkemahiran akibat masalah pelarian yang dianggap menjadi penyumbang paling penting kepada pertumbuhan ekonomi Syria,” kata ESCWA.

Lebih separuh penduduk sebelum perang Syria sudah melarikan diri dari negara itu atau menjadi pelarian dalam negara sejak tujuh tahun lalu.

Pada tahun 2015, anggota tentera Rusia turut membantu menangani ketegangan yang diketuai oleh pasukan kerajaan, yang telah berjaya mengembalikan semula keamanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, anggota jihad dan pasukan pemberontak masih dilihat berada di beberapa kawasan di negara itu, tetapi keberadaan anggota tentera di sebahagian besar kawasan di negara itu telah memihak kepada rejim, dalam usaha ke arah pembinaan semula negara itu.

ESCWA berkata laporan penuh mengenai kesan perang itu akan didedahkan pada bulan September dan anggaran yang dikemaskini pada minggu ini akan membantu memaklumkan perbincangan berterusan mengenai Syria selepas konflik. – AFP