NEW YORK/GENEVA, 15 NOV – Ketua tiga entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa semua negara menyokong deklarasi baharu politik untuk melindungi orang awam daripada pelbagai jenis explosive weapons.
Mereka ialah Wakil Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Izumi Nakamitsu; Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Martin Griffiths; Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dan Presiden ICRC, Mirjana Spoljaric.
Mereka merayu semua negara menyokong deklarasi mengenai ‘Memperkukuh Perlindungan Orang Awam daripada Kesan Kemanusiaan yang Muncul akibat Penggunaan Explosive Weapons di Kawasan Berpenduduk.’
“Dalam konflik di seluruh dunia, orang awam terus menanggung akibat buruk penggunaan senjata itu.
“Apabila digunakan di bandar, pekan dan kampung, senjata ini selalunya mempunyai kesan yang jauh melebihi sasarannya.
“Ia meragut nyawa dan mencederakan…menyebabkan kemusnahan yang meluas dan menjejaskan orang ramai daripada keperluan asas yang penting seperti air dan sanitasi, elektrik, penjagaan kesihatan dan pendidikan,” menurut kenyataan bersama UN-ICRC yang disediakan kepada Bernama.
Explosive weapons merujuk kepada bom dan peluru berpandu, sistem senjata api seperti mortar, roket dan artileri, pelancar roket berbilang laras dan bom buatan sendiri (IED). – Bernama