GENEVA, 15 SEPT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta lebih A$71 juta untuk membantu mereka yang sangat memerlukan selepas kejadian banjir kilat melanda Libya pada hujung minggu lalu.
Taufan Daniel membadai Libya pada 10 September lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 4,000 orang, manakala ribuan lagi masih hilang.
Dalam rayuan segera pada Khamis, agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OCHA) berkata ia menjangkakan jumlah kematian akan terus meningkat.
Di bandar Derna, salah sebuah tempat yang paling teruk terjejas, kini menjadi tanah tandus selepas dua buah empangan pecah pada Ahad lalu.
OCHA berkata dianggarkan 30 peratus daripada bandar itu mungkin musnah dan pihak berkuasa tempatan meminta koridor laut ditubuhkan untuk bantuan dan pemindahan selepas kebanyakan jalan raya musnah.
Sementara itu, keseluruhan bandar di pesisir pantai, Sousse, masih ditenggelami air.
Menggelar situasi tersebut sebagai ‘malapetaka’, OCHA berkata agensi kemanusiaan memerlukan AS$71.4 juta untuk bertindak bagi ‘keperluan yang sangat penting untuk 250,000 orang yang disasarkan daripada 884,000 orang yang dianggarkan memerlukan’.
Rabu lalu, ketua PBB OCHA, Martin Griffiths mengumumkan tabung kecemasan segera sebanyak AS$10 juta.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu dan beberapa buah negara turut menghantar atau menyeru bantuan, sementara pasukan penyelamat asing telah dikerahkan untuk mencari mangsa.- AFP
