PBB: Myanmar berdepan risiko perang saudara ‘membimbangkan’

GENEVA, 23 SEPT – Myanmar berdepan prospek peningkatan perang saudara yang membimbangkan ketika kebangkitan menentang junta Myanmar berleluasa, ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran hari ini.

Michelle Bachelet memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa masa sudah kesuntukan bagi negara-negara lain untuk mempertingkatkan usaha memulihkan demokrasi dan mencegah konflik lebih meluas.

Myanmar berada dalam pergolakan sejak kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan oleh tentera dalam Februari, mencetuskan kebangkitan seluruh negara yang cuba dipatahkan oleh junta.

Serangan ke atas tentera juga meningkat apabila ahli parlimen disingkirkan jeneral menyeru bagi ‘perang rakyat’ awal bulan ini.

Bachelet mengatakan situasi hak asasi manusia semakin memburuk akibat kesan kudeta yang ‘memusnahkan kehidupan dan harapan tipis di seluruh negara itu.’

“Konflik, kemiskinan dan kesan pandemik semakin memburuk dan negara itu berdepan rantaian penindasan, keganasan dan keruntuhan ekonomi,” katanya.

Berdepan dengan penindasan teruk hak asasi, gerakan penentangan bersenjata semakin meningkat.

“Trend membimbangkan ini mencadangkan kemungkinan perang saudara tercetus,” katanya.

Bachelet menggesa negara-negara menyokong satu proses politik yang boleh membabitkan semua pihak, mengatakan blok serantau ASEAN dan kuasa-kuasa berpengaruh perlu menggunakan cara insentif dan bukan insentif bagi ‘menterbalikkan kudeta tentera dan rantaian keganasan terdesak.’ – AFP

Pelarian yang melarikan diri dari Myanmar berehat di tempat perlindungan asas di kem kuarantin Farkawn di negeri timur Mizoram, India berhampiran sempadan Myanmar, 23 September. Mereka merupakan orang ramai yang melarikan diri susulan serangan junta Myanmar ke atas kampung-kampung di negeri barat Chin. –AFP