PBB: Penduduk kebuluran dikhuatiri meningkat

ROM, 8 NOV – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bilangan penduduk berada di ambang kebuluran meningkat di 43 negara dengan jumlah itu bertambah kepada 45 juta orang berikutan kelaparan akut meningkat di seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley, berkata lonjakan daripada 42 juta orang dicatatkan pada awal tahun ini, dengan sebahagian besarnya disebabkan penilaian sekuriti makanan mendapati tiga juta orang lagi menghadapi kebuluran di Afghanistan.

“Kira-kira 10 juta orang berada di ambang kebuluran. Ia berikutan berlaku konflik kemanusiaan, krisis politik, perubahan iklim dan penularan COVID-19 membawa kepada pertambahan jumlah penduduk kebuluran.

“Data terkini menunjukkan kini terdapat lebih 45 juta orang sedang menuju ke ambang kebuluran,” kata beliau selepas mengadakan lawatan ke Afghanistan. Beasley berkata, peningkatan itu juga didorong faktor peningkatan kos bahan api, harga makanan melambung tinggi, kenaikan harga baja yang membawa kepada krisis baharu seperti sedang berlaku di Afghanistan serta keadaan darurat berpanjangan di Yaman dan Syria.

Menurut WFP, kos mengelakkan kebuluran seluruh dunia kini berjumlah AS$7 bilion berbanding AS$6.6 bilion pada awal tahun sambil pertubuhan itu memberikan amaran bahawa aliran dana tradisional telah melepasi batasannya. – AFP