PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 14 OGOS – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin telah melancarkan Indeks Kerentanan Multidimensi (MVI) baharu yang akan membantu negara kepulauan kecil dan negara membangun mendapatkan akses kepada pembiayaan kadar faedah rendah.
Indeks yang menggunakan data baharu itu akan berfungsi sebagai pelengkap kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan metrik pembangunan lain, menurut kenyataan rasmi PBB.
Sejak 1990an, negara pulau kecil yang sedang membangun (SIDS) yang tidak layak mendapatkan pembiayaan pembangunan dengan kadar faedah rendah berdasarkan KDNK per kapita, tetapi masih terdedah kepada kejutan luar seperti perubahan iklim, telah lama menuntut agar langkah sedemikian dilaksanakan.
Setelah bertahun-tahun perbincangan antarabangsa, Perhimpunan Agung akhirnya meluluskan resolusi itu secara konsensus, mengarahkan PBB dan sebuah jawatankuasa pakar bebas untuk memastikan indeks itu sentiasa dikemas kini.
Berdasarkan hasil dapatan panel peringkat tinggi PBB, indeks tersebut menggabungkan pelbagai indikator yang dikaitkan dengan kerentanan struktur sesebuah negara serta kekurangan daya tahan dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial.
Antara faktor yang diambil kira dalam indeks itu termasuk kebergantungan kepada import, pendedahan kepada kejadian cuaca ekstrem dan pandemik, kesan keganasan serantau, pelarian, tekanan demografi serta sumber air dan tanah subur.
Walaupun pada awalnya dicadangkan oleh negara pulau kecil, MVI menyasarkan untuk menjejaki kerentanan bersifat eksogen dan kekurangan daya tahan terhadap kejutan luar bagi semua negara membangun, bagi memastikan kredibiliti dan kebolehbandingan, menurut resolusi tersebut. – AFP