PBB: pertumbuhan ekonomi global diramal 4.7 peratus

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 26 JAN – PBB kelmarin mengingatkan bahawa ekonomi dunia kini berdepan dengan ketidakstabilan berikutan dengan kesan penularan COVID-19 yang akan memberi impak secara berterusan selama bertahun-tahun.

PBB, walau bagaimanapun, berharap ekonomi dunia akan kembali pulih dengan kadar sederhana sebanyak 4.7 peratus tahun ini, meskipun kadar itu hampir tidak dapat mengimbangi kerugian 2020.

Laporan baharu PBB mengenai Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia mengatakan krisis yang berlaku sekali dalam tempoh sedekad itu dan dicetuskan oleh kesan koronavirus telah menyebabkan ekonomi global menyusut sebanyak 4.3 peratus pada tahun 2020 – penguncupan pengeluaran global yang paling teruk sejak kemelesetan besar yang bermula pada tahun 1929 dan jauh lebih tinggi daripada penurunan 1.7 peratus semasa kemelesetan tahun 2009.

“Kesan teruk daripada krisis itu belum pernah terjadi sebelumnya dan menunjukkan pemulihan yang perlahan,” kata ketua ekonomi PBB, Elliott Harris, penolong setiausaha agung untuk pembangunan ekonomi.

“Ketika kita melangkah ke fasa pemulihan yang panjang dengan pengagihan vaksin COVID-19, kita harus mulai meningkatkan pelaburan jangka panjang yang memacu jalan menuju pemulihan yang lebih kukuh,” jelasnnya.

Menurut laporan itu, perintah berkurung, tindakan kuarantin dan penjarakan sosial yang diperkenalkan pada suku kedua tahun 2020 membantu menyelamatkan nyawa tetapi dalam masa yang sama menjejaskan kehidupan ratusan juta orang di seluruh dunia.

Menjelang April, katanya, langkah-langkah perintah berkurung sepenuhnya atau sebahagian telah mempengaruhi hampir 2.7 bilion pekerja, yang mewakili sekitar 81 peratus tenaga kerja dunia.

Sementara 131 juta orang lagi berdepan dengan kemiskinan, kebanyakan adalah daripada kalangan wanita, kanak-kanak dan masyarakat terpinggir.

China, ekonomi kedua terbesar di dunia di mana COVID-19 pertama kali muncul, adalah satu-satunya negara di dunia yang mencatat pertumbuhan ekonomi positif pada tahun 2020 – 2.4 peratus – dan PBB meramalkan bahawa ia akan berkembang sebanyak 7.2 peratus pada tahun 2021. – AP