PBB puji kemajuan pertukaran nama Macedonia

NEW YORK, 14 Jan – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan keputusan parlimen negara bekas Yugoslavia, Republik Macedonia (FYROM) mengesahkan perjanjian dengan Greece untuk menggunakan nama baharu negara itu, lapor UN News semalam.

Wakil Khas kepada Setiausaha Agung PBB, Matthew Nimetz, mengalungkan ucapan tahniah kepada parlimen FYROM dan rakyat negara itu, yang meluluskan perubahan nama dalam pungutan suara yang dilangsungkan pada September 2018.

“Perjanjian bersejarah antara dua jiran ini merintis jalan hubungan baharu antara mereka dan menjadi asas yang lebih kukuh untuk keamanan dan keselamatan di rantau Balkan,” katanya.

“Saya berharap proses ini dapat disempurnakan lagi sejajar dengan apa yang dinyatakan dalam perjanjian berkenaan.”

Menurut agensi berita Xinhua, Nimetz berkata, PBB terus komited untuk bekerja dengan kedua-dua belah pihak bagi menyelesaikan perbalahan antara mereka.

“Untuk membolehkan FYROM dinamakan semula sebagai Republik Macedonia Utara, parlimen Greek perlu mengundi untuk mengesahkan perjanjian berkenaan.”

Bagaimanapun semalam, isu berkenaan mencetuskan krisis dalam kerajaan Greek selepas kerajaan campuran Greece berbalah mengenai perubahan nama itu.

Menteri Pertahanan Greece, Panos Kammenos, yang memimpin parti kecil dalam kerajaan perikatan itu, membantah perjanjian mengenai nama berkenaan dan meletak jawatan.

Perdana Menteri Alexis Tsipras, pula mengumumkan langkah untuk menjalankan undi keyakinan terhadap kerajaan pada Rabu ini.

Perbalahan tercetus sejak 1991, apabila FYROM mengisytiharkan merdeka dari Yugoslavia dan mengumumkan hasratnya untuk dinamakan sebagai Macedonia.

Greece yang berjiran, enggan mengiktiraf nama itu kerana mendakwa ada sebuah wilayah di utara Greece dikenali sebagai Macedonia dan menganggap tindakan FYROM mencabar kedaulatan Greek.

Pada Jun lalu, Greece dan FYROM memeterai perjanjian mengubah nama daripada FYROM kepada Republik Macedonia Utara.

Sebagai tukaran, Greece akan menarik balik bantahan terhadap penyertaan mereka untuk menyertai NATO. – Bernama