PBB sahkan 72 pemandu WFP ditahan

ADDIS ABABA, 10 NOV – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini berkata Ethiopia telah menahan 72 orang pemandu yang bekerja untuk Program Makanan Dunia (WFP) di bandar bahagian utara di sepanjang satu-satunya jalan menuju ke wilayah Tigray yang diancam kebuluran.

“Kami mengesahkan 72 pemandu WFP telah ditahan di Semera. Kami bekerjasama dengan kerajaan Ethiopia untuk mengetahui punca penahanan mereka,” menurut jurucakap PBB.

“Kami mengikut saranan kerajaan bagi memastikan ke-selamatan mereka dan perlindungan sepenuhnya mengenai undang-undang dan hak asasi manusia,” tambah jurucakap.

Berita penahanan pemandu dibuat sehari selepas PBB berkata 22 kakitangan Ethiopia ditahan di Addis Ababa selepas serbuan pihak kerajaan yang dikatakan di-sasarkan kepada etnik Tigray.

Enam daripada kakitangan tersebut telah dibebaskan sementara 16 lagi masih ditahan malam kelmarin, menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada wartawan di ibu pejabat badan dunia di New York.

Pegawai berkata serbuan yang menyasarkan penyokong kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF), yang bertempur dengan kerajaan Perdana Menteri Abiy Ahmed sejak beberapa tahun kebelakangan. – AFP