PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 16 Mei – Majlis Keselamatan PBB sekeras-kerasnya menyelar ujian peluru berpandu balistik terbaru Korea Utara dan mengikrarkan langkah keras, termasuklah sekatan, untuk menggagalkan program senjata nuklear Pyongyang.
Usaha jangka panjang Korea Utara ini untuk memajukan ancaman serangan peluru berpandu yang boleh dipercayai ke atas tanah besar AS telah menyaksikan ia melancarkan apa yang nampaknya peluru berpandu jarak terpanjangnya, semalam.
Pyongyang berkata senjata baru itu – dipanggil Hwasong 12 – mampu membawa ‘peluru berat nuklear’.
Dalam kenyataan sebulat suara yang disokong oleh sekutu utama Korea Utara, iaitu China, majlis itu semalam berikrar akan menghukum ‘kelakuan Pyongyang yang amat menjejaskan kestabilan’ dan menuntut penghentian ujian peluru berpandu atau nuklear seterusnya.
Pyongyang telah melancarkan dua ujian nuklear tahun lalu dan telah menambah lagi program peluru berpandunya, di sebalik sekatan PBB yang bertujuan menahan wang Kim Jong Un yang diperlukan untuk membiayai program senjatanya.
“Terlalu banyak sekatan yang tinggal yang boleh kita lakukan, sama ada dengan minyak, sama ada dengan tenaga, sama ada dengan kapal maritim mereka, eksport,” duta AS Nikki Haley memberitahu televisyen ABC “This Week.”
“Kami boleh melakukan banyak perkara yang berbeza yang belum pernah kami lakukan. Justeru itu pilihan kami ada.” – AFP